Obesiti, makanan ultra proses tingkat risiko penyakit buah pinggang kronik

Health & FitnessFood
10 Oct 2026 • 4:06 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Obesiti, makanan ultra proses tingkat risiko penyakit buah pinggang kronik

SUBANG JAYA, 10 OKT: Masalah obesiti dan pengambilan makanan ultra proses (UPF) secara berlebihan berisiko menjejaskan fungsi buah pinggang sekali gus meningkatkan kemungkinan menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Pakar Nefrologi dan Pakar Perubatan Transplan Buah Pinggang Pusat Perubatan Sunway, Dr Rosnawati Yahya berkata obesiti merupakan antara faktor utama yang meningkatkan risiko CKD, selain boleh menyebabkan komplikasi berkaitan jantung dan metabolisme badan.

“Obesiti bukan hanya dinilai berdasarkan indeks jisim badan (BMI), sebaliknya turut mengambil kira komposisi otot, lemak, cecair dan status pemakanan bagi menilai keadaan pesakit secara lebih menyeluruh.

“Justeru, pemakanan sihat dan aktiviti fizikal penting dalam mengurangkan risiko termasuk mengamalkan pemakanan seimbang serta mengehadkan pengambilan garam, minuman bergula dan makanan ultra proses,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Persidangan Renal Nutrition 2026 (RNC2026) di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya, di sini, hari ini.

Menurut Dr Rosnawati, pengurusan CKD turut memerlukan pendekatan multidisiplin membabitkan doktor, jururawat, pakar dietetik dan profesional kesihatan lain bagi memastikan penjagaan pesakit lebih menyeluruh.

Sementara itu, Profesor Dietetik Monash University, Prof Dr K. Tilakavati berkata perubahan dalam industri makanan turut mempengaruhi cara masyarakat mendapatkan dan mengambil makanan yang kini lebih mudah, cepat serta tersedia.

Beliau berkata makanan ultra proses berbeza daripada makanan tradisional kerana melalui formulasi industri, mengandungi pelbagai bahan tambahan serta mempunyai jangka hayat lebih panjang.

Image from: Obesiti, makanan ultra proses tingkat risiko penyakit buah pinggang kronik
Profesor Dietitik Monash University Prof Dr Tilakavati Karupiah berucap dalam Seminar Kepentingan Pemakanan Buah Pinggang dan Penjagaan Pesakit di Hotel Dorsett Grand Subang, Subang Jaya pada 10 Oktober 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Rasa, kemudahan dan harga antara faktor yang mendorong masyarakat mengambil makanan ultra proses secara berlebihan, terutama apabila makanan berkenaan mudah diperoleh dan menjadi pilihan yang lebih praktikal dalam kehidupan seharian.

“Pengambilan makanan ultra proses juga dikaitkan dengan faktor metabolik dan penyakit kronik yang boleh menjejaskan kesihatan buah pinggang manakala pengambilan yang tinggi sering dikaitkan dengan risiko CKD yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, persidangan turut menampilkan sesi perkongsian mengenai pengurusan obesiti merentasi peringkat CKD serta pengambilan makanan ultra proses dan kesannya terhadap kesihatan buah pinggang.

Bertemakan ‘Menterjemahkan Bukti Pemakanan kepada Penjagaan Pesakit Buah Pinggang’, RNC 2026 yang berlangsung hari ini dan esok menghimpunkan 450 profesional kesihatan termasuk pakar nefrologi, pakar dietetik, jururawat, ahli farmasi dan profesional kesihatan bersekutu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved