hamden14/08/2026 - 18:07 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Ogos - Ocean Vantage Holdings Bhd (Ocean Vantage) dijangka menerima sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan susulan pelantikan dua anak syarikat milik penuhnya sebagai kontraktor panel oleh Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).
Pelantikan itu melibatkan penyediaan Perkhidmatan Kesinambungan Telaga Bersepadu (IWCS) bagi kerja intervensi telaga, workover dan penutupan telaga.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Ocean Vantage berkata anak syarikatnya, Ocean Vantage Engineering Sdn Bhd (OVE) dan Ocean Vantage Inspection Testing Sdn Bhd (OVIT), menerima pelantikan berkenaan yang berkuat kuasa sehingga 9 Oktober 2029.
Menurut kumpulan itu, pelantikan tersebut membolehkan Ocean Vantage menyertai peluang kerja masa hadapan berkaitan aktiviti intervensi telaga di seluruh Malaysia bagi pihak Kontraktor Perkongsian Petroleum (PAC).
Antara PAC yang berpotensi terlibat termasuk PETRONAS Carigali, Shell, ExxonMobil, Hibiscus dan TotalEnergies.
OVE dilantik bagi sembilan sub-pakej IWCS, merangkumi perkhidmatan seperti penyelenggaraan kepala telaga, pembaikan kebocoran telaga dan intervensi subsea bersepadu.
Sementara itu, OVIT dilantik bagi menyediakan perkhidmatan slickline.
Pengarah Urusan Kumpulan Ocean Vantage, Kenny Ngalin berkata, pelantikan berkenaan merupakan satu pencapaian penting kepada kumpulan kerana ia adalah pelantikan panel langsung pertama syarikat di bawah rangka kerja IWCS PETRONAS.
“Kami melihat pelantikan ini sebagai langkah penting dalam memperkukuh kedudukan OVH dalam ekosistem perkhidmatan telaga dan membuka akses kepada peluang kerja yang lebih luas dalam industri minyak dan gas,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Willie Ho pula berkata, penyertaan dalam 10 sub-pakej itu mencerminkan pelaburan berterusan OVH dalam membangunkan keupayaan perkhidmatan yang melangkaui talian perkhidmatan tradisional.
Dari sudut prospek, pelantikan tersebut dijangka memberi peluang kepada Ocean Vantage untuk memanfaatkan peningkatan aktiviti penutupan telaga (P&A) yang diunjurkan PETRONAS.
Aktiviti P&A dijangka meningkat daripada 63 telaga pada 2025 kepada sasaran 80 telaga setahun mulai 2027.
Bagaimanapun, Ocean Vantage menjelaskan pelantikan sebagai kontraktor panel itu tidak menjamin pemberian kerja secara automatik.
Sebaliknya, ia membolehkan kumpulan menyertai proses tender atau menerima pemberian kerja secara langsung sepanjang tempoh pelantikan panel berkenaan.
Kumpulan berkata peluang tersebut dijangka menyokong pertumbuhan mampan dan mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham. - DagangNews.com





