Perodua turunkan harga Axia sehingga RM4,700 sebuah berkuat kuasa serta-merta di seluruh negara

LocalCars
3 Aug 2026 • 2:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perodua turunkan harga Axia sehingga RM4,700 sebuah berkuat kuasa serta-merta di seluruh negara Image from: Perodua turunkan harga Axia sehingga RM4,700 sebuah berkuat kuasa serta-merta di seluruh negara hamden03/08/2026 - 14:17 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengurangkan harga model Axia sehingga RM4,700 berkuat kuasa serta-merta di seluruh negara.

 

Dalam kenyataan hari ini, syarikat automotif nasional itu memberitahu pelarasan harga terbesar melibatkan varian Axia 1.0G yang menerima pengurangan sebanyak RM4,700, diikuti Axia 1.0X sebanyak RM1,500, Axia 1.0SE sebanyak RM1,000 dan Axia 1.0AV sebanyak RM500.

 

Menurut Perodua, pengurangan harga itu tidak melibatkan sebarang perubahan terhadap spesifikasi dan piawaian kualiti Axia, sebaliknya penjimatan kos diperoleh sepenuhnya menerusi penambahbaikan proses serta peningkatan kecekapan operasi.

 

 

 

 

 

 

Kata syarikat  itu lagi, pelarasan harga tersebut mencerminkan komitmen Perodua untuk menawarkan nilai lebih baik kepada pelanggan dalam keadaan ekonomi semasa, selain memastikan model Axia kekal sebagai pilihan kenderaan paling mampu milik di Malaysia.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk mengurangkan tekanan kos yang dihadapi rakyat Malaysia.

 

“Pelarasan harga ini membentuk sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk mengurangkan tekanan kos yang sedang dihadapi rakyat Malaysia,” katanya.

 

Keberkesanan Operasi 

Zainal berkata, usaha meningkatkan keberkesanan operasi syarikat turut diterjemahkan melalui pengurangan kos perkhidmatan serta pelarasan harga bagi model QV-E dan penawaran Battery as a Service (BaaS).

 

"Pelarasan harga ini adalah hasil daripada inisiatif penambahbaikan berterusan yang dilaksanakan secara konsisten melalui kerjasama rapat bersama pembekal tempatan dan rakan kongsi dalam ekosistem automotif," katanya.

 

Perodua berkata, Axia sejak sekian lama memainkan peranan penting sebagai pilihan pengangkutan mampu milik dan boleh dipercayai kepada rakyat Malaysia.

 

Syarikat itu menegaskan pelarasan harga berkenaan sejajar dengan komitmennya untuk memastikan model tersebut terus boleh diakses oleh segmen pengguna yang lebih luas di seluruh negara.

 

 

 

 

 

 

Pada masa sama, Perodua turut menghargai kerjasama vendor dan pengedar dalam membantu meningkatkan kecekapan kos secara menyeluruh, yang akhirnya memberi manfaat kepada industri automotif tempatan serta pengguna.

 

"Kami mengucapkan terima kasih kepada vendor dan pengedar atas kerjasama penuh dalam meningkatkan kecekapan kos demi manfaat bersama industri dan seterusnya seluruh rakyat Malaysia," kata Zainal. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved