Oceancash Pacific beli 100% ekuiti Paragon Car Carpets & Components bernilai RM13.42 juta

10/09/2025 - 18:06
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 10 Sept - Oceancash Pacific Berhad memeterai perjanjian jual beli saham dengan Paragon Union Berhad bagi mengambil alih 22.75 juta saham atau 100% pegangan ekuiti dalam Paragon Car Carpets & Components Sdn Bhd (PCCCSB) bernilai RM13.42 juta.
Kumpulan itu berkata, langkah berkenaan bertujuan mengembangkan pangkalan pelanggan serta mendapat akses langsung di dalam industri automotif, seperti pengeluar automotif, yang kini dilayani PCCCSB.
Oceancash pada asasnya terlibat dalam pembuatan dan perdagangan produk bukan tenunan, pembuatan serta pengedaran produk untuk penebat haba dan bunyi, serta pembuatan alat ganti dan aksesori kenderaan.
"Cadangan pengambilalihan ini juga dijangka membolehkan mereka mengembangkan aktiviti hiliran dalam rantaian bekalan permaidani kereta serta meluaskan pangkalan pelanggan dalam industri automotif dengan memanfaatkan hubungan perniagaan PCCCSB dengan pelanggan sedia ada.
"Pada masa sama juga berpeluang membuat jualan silang produk di bawah kumpulan sekali gus meningkatkan daya saing dan kedudukan Oceancash dalam pasaran alat ganti dan komponen automotif," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Pengambilalihan itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan pemegang saham syarikat semasa mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan selain kelulusan daripada mana-mana pihak berkuasa atau pihak berkaitan sekiranya diperlukan.
Sekiranya tiada sebarang keadaan yang tidak dijangka berlaku dan tertakluk kepada semua kelulusan yang dinyatakan dalam Seksyen 8, pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku kedua tahun 2026 (2Q26). - DagangNews.com
standard

