OCI Tokuyama labur RM2 bilion dalam operasi cip di Sarawak, hasilkan polisilikon beketulenan tinggi

LocalTechnology
14 Jul 2025 • 4:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

OCI Tokuyama labur RM2 bilion dalam operasi cip di Sarawak, hasilkan polisilikon beketulenan tinggi

image is not available

14/07/2025 - 16:20

Kilang sedia ada OCI TerraSus, manakala kilang baharunya dijangka mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 8,000 metrik tan polisilikon gred semikonduktor dan dijangka siap secara mekanikal menjelang suku pertama tahun 2027.

KUALA LUMPR 14 Julai - OCI Tokuyama Semiconductor Materials Sdn Bhd (OTSM), sebuah syarikat usaha sama 50:50 antara OCI TerraSus dan Tokuyama Corp dari Jepun, melabur sebanyak RM2 bilion dalam pembinaan sebuah kilang pembuatan bagi menghasilkan polisilikon gred semikonduktor berketulenan tinggi di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadualkan merasmikan majlis pecah tanah bagi projek tersebut pada hari Rabu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif OTSM, Steve Choi berkata, kilang itu akan beroperasi 24 jam sehari dan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 8,000 tan polisilikon gred semikonduktor serta akan mewujudkan 200 pekerjaan berkualiti tinggi dan peluang kepada rakyat Sarawak.

“Kami menjangkakan kilang pembuatan ini akan disiapkan dalam satu fasa pada suku pertama tahun 2027 (1Q27). syarikat ini akan meningkatkan pengeluaran secara berperingkat dan dijangka mencapai kapasiti penuh menjelang Januari 2029,” katanya dalam satu temu bual.

OTSM memeterai perjanjian pembelian tenaga selama 10 tahun dengan Sarawak Energy Bhd, yang akan membekalkan 70% tenaga elektrik kepada loji tersebut daripada sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) hidro, manakala baki 30% akan dibekalkan daripada loji janakuasa berasaskan gas dan arang batu.

image is not available
Ketua Pegawai Eksekutif OTSM, Steve Choi

Steve berkata, pembangunan industri rendah karbon syarikat itu dengan penggunaan RE merupakan bukti komitmen bersama OCI dan Tokuyama terhadap pengilangan yang mampan dan berkonsepkan kitaran.

“Polisilikon gred semikonduktor merupakan bahan asas bagi pelbagai teknologi, daripada telefon pintar dan kenderaan elektrik (EV) hinggalah kepada tenaga solar dan kecerdasan buatan (AI).

“OTSM akan menghasilkan bahan mentah utama yang digunakan untuk membuat cip yang menggerakkan teknologi AI — daripada pusat data dan telefon pintar hinggalah ke EV dan kilang pintar. Ekonomi yang dipacu AI akan menyaksikan permintaan tinggi terhadap semikonduktor canggih, yang semuanya memerlukan polisilikon.

“Bahan yang dihasilkan di sini menyokong tenaga bersih dan teknologi generasi baharu, sekali gus memperkukuh peranan kilang ini dalam peralihan iklim dan digital.

“Kilang OTSM akan memenuhi permintaan daripada syarikat teknologi utama di Korea Selatan, Jepun dan Taiwan, dan memastikan daya tahan serta kepelbagaian serantau dalam rantaian bekalan global,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan Sarawak sebagai lokasipelaburan utama, Steve berkata, ia menawarkan lokasi strategik di rantau Asia Tenggara, dan berhampiran dengan pasaran teknologi utama seperti Korea Selatan, Jepun dan Taiwan.

“Tenaga hidro bersih yang banyak di Sarawak, kestabilan politik dan dasar yang berpandangan jauh seperti Strategi Pembangunan Pasca-Covid 2030 menjadikannya lokasi yang ideal untuk pembuatan maju dan mampan.

“Sarawak sedang muncul sebagai Pusat Kecemerlangan Geopolitik dan Teknologi, dengan institusi seperti Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (Centexs) dan sokongan kukuh daripada kerajaan," katanya.

Projek loji OTSM itu merupakan pelaburan utama ketiga OCI di Sarawak. Syarikat itu telah melabur lebih RM8 bilion, termasuk perluasan kapasiti pengeluaran pada tahun-tahun sebelum ini. - DagangNews.com

featured standard