OCK Group peroleh kontrak penyedia tenaga sokongan pusat data berniai RM32.5 juta 

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2024 • 5:36 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

OCK Group peroleh kontrak penyedia tenaga sokongan pusat data berniai RM32.5 juta

herman

19/08/2024 - 17:36

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Syarikat menara telekomunikasi serantau, OCK Group Berhad (OCK) mengumumkan anak syarikatnya, EI Power Technologies Sdn Bhd memperoleh tiga kontrak penyedia tenaga sokongan pusat data yang bernilai RM32.5 juta.

Di bawah skop kontrak ini, OCK akan bertanggungjawab untuk membekal, menghantar, memasang, menguji dan mengkomisenkan tangki simpanan bawah tanah dan sistem pengagihan bahan api, termasuk kerja-kerja kabel untuk penyelesaian sistem tenaga sokongan pusat data.

"Sistem ini bertujuan untuk menyediakan sumber tenaga kritikal bagi menjadi sandaran semasa gangguan kuasa yang tidak dijadualkan dengan memastikan bekalan bahan api yang konsisten, yang penting bagi pusat data untuk mengekalkan operasi yang tidak terganggu semasa gangguan kuasa," kata OCK dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan OCK, Datuk Wira Sam Ooi Chin Khoon berkata, sebagai sebahagian daripada usaha strategik untuk meningkatkan aliran pendapatan, kontrak-kontrak yang baru diperoleh ini merupakan bukti kukuh kepada keupayaan OCK dalam menyediakan pelbagai penyelesaian.

"Dengan meneroka saluran baru, kami terus meletakkan diri kami untuk pertumbuhan yang berterusan dan peluang pendapatan yang meluas.

"Memandangkan momentum projek pusat data yang baharu, kami meramalkan lonjakan permintaan yang kukuh untuk segmen ini dalam masa terdekat.

"Kami bercadang untuk memanfaatkan keupayaan terbukti kami dalam bidang ini untuk terus mengembangkan segmen perniagaan ini. Selain itu, kami juga sedang menender untuk projek sambungan rangkaian fiber untuk pusat data,” jelasnya. - DagangNews.com