“Okay waris, siapa nak cium jenazah boleh masuk..” Wanita Kongsi Realiti Di Rumah Kebajikan

7 Aug 2025 • 7:19 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

“Okay waris, siapa nak cium jenazah boleh masuk..” Wanita Kongsi Realiti Di Rumah Kebajikan

Di sebalik nama Pertubuhan Jariah Kasih Malaysia, tersimpan sebuah kisah yang cukup menyentuh hati.

Kisah seorang wanita tabah yang tidak pernah menyangka bahawa suatu hari nanti, dirinya bakal menjadi tempat bergantung buat insan-insan serba kekurangan anak-anak yatim dan warga emas yang tidak punya tempat bergantung.

Wanita itu ialah Natipah Abu, atau lebih dikenali dengan panggilan mesra Kak Pah, pengasas kepada pertubuhan ini.

Menerusi segmen Ini Kisah Aku, SK diberi ruang untuk menyelami sisi lain kehidupan Kak Pah, yang penuh liku dan air mata, dalam usahanya menyediakan ‘payung’ untuk golongan yang memerlukan berteduh, dengan kasih sayang dan harga diri.

Bermula Dari Rumah Tumpangan, Kini Dua Rumah Perlindungan Beroperasi

image is not available

Meskipun tidak datang daripada keluarga berada, Kak Pah seorang yang berjiwa besar. Hasratnya jelas, mahu menyediakan sebuah tempat perlindungan buat anak-anak yatim dan warga emas, khususnya mereka yang disisihkan atau ditinggalkan tanpa perhatian.

Mengimbas semula detik awal penglibatannya dalam kerja kebajikan ini, Kak Pah bercerita bahawa semuanya bermula secara kecil-kecilan.

Pada awalnnya, dia hanya menumpang di rumah orang untuk menjaga mereka yang memerlukan. Tiada bangunan sendiri. Tiada dana tetap. Hanya tekad dan doa.

“Sebelum ni, Kak Pah menumpang di rumah orang lah. Rumah yang satu lagi pun sama. Jadi Kak Pah buka rumah orang tua-tua dan rumah anak yatim,” katanya.

Namun, pada satu ketika, pemilik rumah terpaksa mengambil semula premis tersebut atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Ketika itulah, Kak Pah perlu membuat keputusan besar dalam hidupnya.

“Kebetulan ada tanah warisan keluarga. Maka Kak Pah nekad untuk membina sendiri di tanah warisan keluarga ni. Bermula dengan rumah orang tua-tua, kemudian kami pindahkan juga rumah anak yatim ke Gurun, Kedah,” kongsinya.

Dari keberanian dan kesungguhan itu, lahirlah dua buah rumah perlindungan rasmi, Rumah Kasih Budiman dan Rumah Anak Yatim Jariah Kasih.

Amanah Itu Lebih Besar Daripada Politik

image is not available

Menguruskan rumah kebajikan bukan kerja mudah. Selain soal pengurusan harian, antara cabaran terbesar adalah hal berkaitan dana dan bantuan kewangan.

Kak Pah pernah beberapa kali dipersoal, mengapa bantuan tidak disampaikan oleh wakil rakyat, atau tiada acara rasmi dengan mock check?

“Kak Pah rasa Kak Pah memegang amanah penderma. Kak Pah bukannya datang daripada mana-mana parti politik. Jadi, tak bolehlah Kak Pah nak bagi mock check untuk YB serahkan mewakili penderma Kak Pah,” jawabnya.

Baginya, bantuan perlu disampaikan dengan penuh keikhlasan. Bukan dijadikan alat publisiti. Bukan untuk meraih nama. Kerana setiap sen yang disumbangkan adalah amanah dan amanah itu perlu dijaga.

Lebih Daripada Sekadar Rumah.. Ini Sebuah Keluarga

image is not available

Di mata sesetengah masyarakat, rumah kebajikan sering disalah anggap sebagai bisnes. Namun hanya mereka yang benar-benar menguruskan rumah sebegini akan tahu hakikatnya.

“Memang tak dinafikan, banyak yang begitu di luar. Tapi kalau kita tanya orang yang betul-betul handle rumah ni, mereka bukan hanya berkorban masa dan tenaga, tapi mereka korbankan kehidupan mereka.

Dan walaupun tiada pertalian darah, hubungan yang terjalin antara Kak Pah dan penghuni rumah ini ibarat sebuah keluarga.

Kongsi Kak Pah lagi, menguruskan anak-anak yatim terutama dalam usia remaja, datang dengan cabaran tersendiri.

Antaranya emosi, pelajaran, hingga tekanan sosial. Tetapi sebagai ‘ibu’ kepada mereka, Kak Pah hanya mahukan yang terbaik.

“Kami tidur bersama. Kami makan bersama. Kami lalui hari-hari bersama. Hubungan itu jadi terlalu rapat,” luahnya.

Antara kenangan manis yang masih segar dalam ingatan ialah apabila Kak Pah pernah menulis sebuah catatan yang akhirnya sampai kepada Tengku Mahkota Johor.

“Masa tu ada seorang anak sakit jantung di Johor. Teringin nak jumpa dengan baginda. Dan hajat tu terlaksana… hanya kerana sebuah tulisan,” katanya.

image is not available

Bagi Kakpah, setiap insan yang pernah berteduh di bawah perlindungan Kak Pah meninggalkan kesan yang mendalam. Namun, kisah seorang Pakcik ini kekal sebagai antara kisah yang paling menyentuh hatinya.

“Pakcik ni, Kak kenal dia daripada dia sihat. Dia duduk rumah yang lantainya tanah. Jadi, Kak dan team Kak bina rumah kecil dan selesa untuk dia.

“Tapi bila rumah tu siap, dia jatuh sakit. Tak boleh jalan. Kita nak hantar ke hospital, tapi dia tak mahu. Dia suruh ambulans hantar balik. Duduk seorang di rumah. Macam terbiar. Tak ada siapa nak urut.

image is not available

“Sebelum dia meninggal, Kak bawa dia duduk di rumah waktu Kak di Merbok. Tapi akhirnya dia jatuh sakit lagi. Memang tak mampu nak ke hospital. Kak rasa macam silap Kak jugalah… Tapi Kak ada dengan dia sampai akhir hayat. Sampai dia meninggal dunia,” luahnya.

Lebih menyayat hati, Kak Pah turut berkongsi momen di mana selepas jenazah pakcik itu dimandikan.

“Pernah terjadi…lepas jenazah dimandikan, pihak yang mandi tu kata ‘Okay waris, siapa nak cium jenazah boleh masuk. Tak ada siapa nak masuk,” katanya.

Setiap kisah suka duka di rumah perlindungan ini penuh dengan seribu satu kisah kemanusiaan.

Ia tentang kasih yang tak meminta balasan. Tentang insan yang berjuang dengan apa yang ada untuk memberi kehidupan yang lebih baik kepada mereka yang tiada siapa.

Kisah perjuangan Kak Pah membuka mata kita, bahawa masih ramai di luar sana yang perlukan tangan untuk memapah mereka kembali bangkit.

Tonton video penuh perjalanan Kak Pah dalam menjadi payung buat anak-anak yatim dan warga emas di bawah

https://www.facebook.com/siakapkeli/videos/1868260597080518