Oksigen pun kau claim! – Geng artis naik angin isu jerebu

LocalEnvironment
17 Oct 2026 • 11:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Oksigen pun kau claim! – Geng artis naik angin isu jerebu

LANGIT yang dahulunya membiru kini bertukar kelabu. Sejak Ogos lalu, rakyat Malaysia terpaksa berdepan pencemaran udara akibat jerebu rentas sempadan susulan kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan serta Sumatera, Indonesia.

Keadaan semakin membimbangkan apabila masalah tersebut turut menjejaskan kesihatan dan aktiviti harian masyarakat. Isu yang seakan-akan menjadi masalah berulang itu bukan sahaja mencetuskan kemarahan rakyat, malah turut mendapat perhatian golongan selebriti tanah air.

Ada yang lantang menyindir, ada pula meluahkan kebimbangan terhadap kesihatan, manakala sebahagiannya memilih untuk menegur secara berhemah tanpa mengeruhkan hubungan dua negara.

Namun, apa yang lebih menghangatkan keadaan ialah kenyataan Ketua Badan Komunikasi Kerajaan Indonesia (Bakom), Syahganda Nainggolan, yang mendakwa hutan di negaranya turut membekalkan oksigen kepada Malaysia dan Singapura.

Kenyataan tersebut dibuat ketika kedua-dua negara jiran sedang berdepan pencemaran udara akibat kebakaran hutan di republik berkenaan.

Menurut Syahganda, kebakaran yang berlaku bukan berpunca daripada kesilapan manusia, sebaliknya merupakan fenomena alam.

“Kita bukan hanya menghantar asap. Jika tiada asap, kita menghantar oksigen. Oksigen di Singapura dan Malaysia juga datang daripada hutan-hutan kami,” kata Syahganda Nainggolan.

Kenyataan itu mengundang reaksi sinis rakyat Malaysia yang mempersoalkan kewajaran mengungkit soal oksigen ketika masalah jerebu masih belum selesai dan faktanya Malaysia juga kaya dengan hutan hujan tropika.

Image from: Oksigen pun kau claim! – Geng artis naik angin isu jerebu
REMY ISHAK

Antara yang tidak dapat menahan rasa geram ialah pelakon Datuk Remy Ishak yang jarang dilihat mencampuri isu sedemikian di media sosial. Menerusi Threads, Remy mempersoalkan dakwaan berkenaan dengan menulis: “Oksigen pun kau claim… Ya Allah.”

Luahan ringkas itu cukup untuk menggambarkan rasa tidak puas hatinya terhadap kenyataan yang dianggap tidak kena pada tempatnya.

Tidak ketinggalan, pengarah terkenal Michael Ang turut tampil dengan sindiran menerusi sosial media apabila mempersoalkan kenyataan berhubung bekalan oksigen tersebut.

Dengan gaya sinis yang sinonim dengannya, Michael menulis: “Saya tahu, saya tidak pandai, sebab itu buat posting hendak tanya pakar-pakar sains Malaysia, oksigen kita (Malaysia) dan Singapura betul ke datang dari hutan Indonesia? Semua benda mahu pusing,” tulisnya.

Image from: Oksigen pun kau claim! – Geng artis naik angin isu jerebu
MICHAEL ANG

Sindiran Michael dan Remy memperlihatkan bahawa perkara yang membangkitkan kemarahan bukan sekadar asap yang menyelubungi negara, tetapi juga cara pihak tertentu memberikan penjelasan mengenai krisis tersebut.

Ketika rakyat menanggung kesan pencemaran udara, kenyataan sebegitu hanya menambah rasa kurang senang masyarakat yang mengharapkan tindakan lebih berkesan bagi menangani masalah berkenaan.

Lebih lantang, penyanyi Stacy Anam turut mengaitkan isu pembakaran hutan di Indonesia ketika membalas provokasi seorang netizen negara jiran yang membandingkannya dengan penyanyi terkenal, Agnez Mo.

Tidak berdiam diri apabila asal-usul dan penampilannya dipersendakan, Stacy menegaskan dirinya bangga dilahirkan di Sabah, Malaysia, selain menyelar tindakan pembakaran hutan yang merosakkan alam sekitar.

“Asapnya sampai ke negara orang! Malu sedikit jadi orang,” tulis Stacy menerusi Threads.

Hakikatnya, rakyat Malaysia termasuk golongan artis bukan mahu berbahas tentang negara mana paling banyak menghasilkan oksigen atau siapa lebih hebat, sebaliknya mahu melihat tindakan berkesan bagi menghentikan kebakaran dan mencegah krisis yang sama daripada berulang.

Masalah ini sudah terlalu lama berlarutan dan penyelesaiannya memerlukan lebih daripada sekadar kenyataan atau saling berbalas sindiran. Jangan sampai rakyat terus dipaksa menghidu asap setiap kali tiba musim kemarau atau musim pembakaran secara sengaja.

Image from: Oksigen pun kau claim! – Geng artis naik angin isu jerebu
STACY

The post Oksigen pun kau claim! – Geng artis naik angin isu jerebu appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved