OKU mental didakwa bunuh bapa diarah jalani ujian psikiatri

LocalPolitics
30 Apr 2026 • 12:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: OKU mental didakwa bunuh bapa diarah jalani ujian psikiatri
Mohd Azwan (dua dari kanan) dikawal ketat polis ketika tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Khamis.

KOTA BHARU – Mahkamah Majistret di sini pada Khamis mengarahkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental yang didakwa membunuh bapanya supaya menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Perintah itu dibuat Majistret Rais Imran Hamid terhadap tertuduh, Mohd Azwan Muhamad, 41, selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada prosiding, wakil pendakwa, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nadzir Abdullah turut memohon tempoh sebulan bagi melengkapkan laporan kimia dan bedah siasat.

Terdahulu, tertuduh yang tidak bekerja itu didakwa membunuh bapanya, Muhammad Ishak, 83, di sebuah rumah di Kampung Baung Bayam kira-kira jam 10.30 pagi pada 20 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Semasa prosiding, tertuduh tidak memberikan sebarang respons ketika namanya dipanggil.

Peguam, Tengku Shazuan Tengku Shariffudin dan Ahmad Nizam Mohamed yang mewakili tertuduh turut mengemukakan kad rawatan mental milik anak guam mereka.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan berkaitan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, warga emas terbabit mengalami kecedera parah di kepala dan dihantar untuk rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 6.30 petang ketika dirawat di hospital itu.