amree06/10/2026 - 17:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt — Jenama kopitiam Malaysia, OldTown White Coffee menutup cawangan terakhirnya di Singapura pada 11 Oktober 2026, sekali gus menamatkan kehadiran di negara itu selepas 18 tahun.
Cawangan yang terletak di Kallang Wave Mall dan sudah beroperasi lebih 12 tahun itu menjadi satu-satunya rangkaian kedai kopitiam tersebut masih lagi beroperasi di Singapura sebelum akan ditutup secara kekal.
Dalam hantaran media sosial, OldTown White Coffee Singapore mengumumkan perkara itu dan merakamkan penghargaan kepada pelanggan yang terus memberikan sokongan sepanjang tempoh operasi cawangan.
"Penutupan ini menandakan pengunduran daripada pasaran kafe fizikal Singapura selepas jenama berkenaan pernah mengembangkan rangkaian kepada 10 cawangan ketika era kemuncak," jelasnya.
Antara lokasi popular yang pernah menempatkan cawangan OldTown berkenaan termasuk di Cineleisure Orchard, Square 2 Novena, East Coast Park dan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.
Kumpulan tersebut memasuki pasaran kafe Singapura sejak 2008, selepas membina jenama berasaskan kopi putih Ipoh yang bermula pada 1999 dengan penjualan produk kopi putih segera 3-dalam-1.

Jenama itu berkembang kepada konsep kopitiam moden yang mengetengahkan makanan popular Malaysia seperti nasi lemak, roti kaya, nasi ayam Hainan dan mi, selain kopi putih sebagai produk utamanya.
OldTown yang berasal dari Ipoh, Perak, merupakan antara jenama makanan dan minuman (F&B) Malaysia yang dikenali di luar negara, dengan rangkaian outlet turut beroperasi di beberapa pasaran Asia.
Dalam kenyataan itu, OldTown berkata meskipun operasinya di Singapura bakal berakhir, pihaknya berharap dapat bertemu semula dengan pelanggan di cawangan OldTown yang lain di rantau ASEAN.
Pengunduran itu berlaku ketika industri F&B republik berkenaan berdepan persekitaran operasi yang mencabar, dengan beberapa restoran, kafe dan pengusaha makanan turut menutup operasi mereka.
Dengan penutupan Kallang Wave Mall, pelanggan OldTown perlu menikmati hidangan ditawarkan menerusi tujuh cawangan yang terdapat di Johor Bahru, Johor antaranya di City Square dan Aeon Bukit Indah.
Ia turut mempunyai kedai di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Premium Outlets dan Sunway Citrine Iskandar Puteri yang sering dikunjungi ramai warga Singapura. - DagangNews.com

