OM Holdings pindah pendaftaran syarikat dari Bermuda ke Singapura, tukar nama kepada OM Materials

LocalBusiness & Finance
21 Sep 2026 • 3:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

OM Holdings pindah pendaftaran syarikat dari Bermuda ke Singapura, tukar nama kepada OM Materials Image from: OM Holdings pindah pendaftaran syarikat dari Bermuda ke Singapura, tukar nama kepada OM Materials amree21/09/2026 - 15:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Sept — Syarikat perlombongan dan peleburan yang memiliki operasi utama di Malaysia dan Singapura, OM Holdings Limited bercadang meninggalkan Bermuda dengan memindahkan pendaftaran korporat ke Singapura.

 

Langkah itu dilihat sebagai usaha menyelaraskan kedudukan dengan pusat operasi dan pengurusan kumpulan yang kini tertumpu di Singapura, selain memberikan fleksibiliti lebih besar untuk melaksanakan tindakan korporat pada masa hadapan.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia dan Bursa Saham Australia (ASX), kumpulan tersebut akan mendapatkan kelulusan pemegang saham menerusi Mesyuarat Agung Khas (SGM) yang dijadualkan pada 15 Oktober 2026 di Hotel Indigo Singapore Katong.

 

"Pemegang saham akan mengundi tiga resolusi yang saling bergantung, meliputi pemindahan domisil syarikat dari Bermuda ke Singapura, penerimaan perlembagaan baharu serta pertukaran nama rasmi syarikat tersebut," jelas OM Holdings.

 

Lembaga Pengarah berkata, langkah berkenaan akan menyelaraskan pendaftaran syarikat dengan lokasi aktiviti perniagaannya, memandangkan anak syarikat utama dan operasi teras kumpulan ketika ini tertumpu di Malaysia dan Singapura.

 

Ujarnya, keputusan perniagaan utama serta pengurusan harian kumpulan turut diarahkan dari Singapura, manakala sebahagian besar ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan kumpulan berpangkalan di negara berkenaan.

 

OM_DagangNews2026

 

Syarikat turut merancang menukar nama kepada OM Materials Holdings Limited, selepas mendapati nama sekarang tidak tersedia untuk pendaftaran dengan Lembaga Pengawal Selia Penyata Kewangan dan Korporat Singapura (ACRA).

 

"Pemindahan ke Singapura juga dijangka memberikan fleksibiliti korporat lebih besar, antaranya kerana undang-undang Singapura tidak lagi menggunakan konsep nilai tara bagi saham, berbanding sekatan berkaitan nilai tara di Bermuda," katanya.

 

Bagi memudahkan proses tersebut, Majlis Industri Sekuriti Singapura (SIC) sudah meluluskan pengecualian aplikasi am Kod Pengambilalihan Singapura terhadap OM Holdings selepas proses pendaftaran di Singapura berkuat kuasa.

 

Dari segi dagangan, saham di ASX akan ditukar secara automatik kepada CHESS Depositary Interests (CDI) pada nisbah 1:1 tanpa perubahan kod dagangan ‘OMH’, manakala pemegang saham di Pasaran Utama Bursa Malaysia boleh terus berdagang melalui Daftar Saham Malaysia.

 

Sekiranya semua resolusi diluluskan, pemindahan itu dijangka disempurnakan pada suku keempat 2026 dengan tarikh sasaran berkuat kuasa 14 Disember 2026. Lembaga Pengarah sebulat suara mengesyorkan pemegang saham menyokong ketiga-tiga resolusi tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved