KEPUTUSAN pengadil sekali lagi menjadi perdebatan di Piala Dunia apabila Michael Olise terlepas hukuman kad merah selepas melakukan terjahan keras terhadap Rodri ketika Perancis tewas 0-2 kepada Sepanyol pada aksi separuh akhir.
Pemain sayap Perancis itu melakukan terjahan berbahaya dari belakang terhadap Rodri pada minit ke-14 apabila kakinya terkena bahagian belakang kaki pemain tengah Sepanyol berkenaan dengan stud terbuka.
Rodri yang sudah melepaskan bola sebelum insiden itu dilihat menahan kesakitan, namun pengadil Ivan Barton tidak mengeluarkan sebarang kad kepada Olise, malah tiada semakan video bantuan pengadil (VAR) dilakukan.
Keputusan itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat yang mempersoalkan mengapa pemain Bayern Munich itu terlepas hukuman lebih berat selepas melakukan cabaran yang dianggap berbahaya.
Lebih mencuri perhatian apabila insiden itu dibandingkan dengan tindakan terhadap pemain England, Jarell Quansah yang dilayangkan kad merah ketika menentang Mexico pada pusingan 16 selepas VAR campur tangan.
Dalam aksi itu, Quansah pada awalnya dilihat berjaya mendapatkan bola, namun kakinya kemudian terkena pemain lawan menyebabkan pengadil mengubah keputusan selepas semakan video.
Situasi berbeza membabitkan Olise menimbulkan persoalan mengenai konsistensi penggunaan VAR, terutama apabila melibatkan perlawanan berprofil tinggi seperti separuh akhir Piala Dunia.
Olise yang menjadi pemain dengan jumlah bantuan gol terbanyak kejohanan dengan lima bantuan, akhirnya terlepas daripada hukuman dan terus beraksi sehingga tamat perlawanan.
Bagaimanapun, Perancis gagal bangkit selepas ketinggalan menerusi sepakan penalti Mikel Oyarzabal sebelum Pedro Porro menggandakan kelebihan Sepanyol pada babak kedua untuk memastikan La Roja mara ke final.
Sepanyol kini menanti pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara England dan Argentina yang berlansung awal pagi Khamis (3 pagi waktu Malaysia).

