Olympia Industries lanjut tempoh pinjaman RM30 juta dengan Sea Resorts Development

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 6:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Olympia Industries lanjut tempoh pinjaman RM30 juta dengan Sea Resorts Development Image from: Olympia Industries lanjut tempoh pinjaman RM30 juta dengan Sea Resorts Development hamden07/10/2026 - 18:13 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt  - Olympia Industries Berhad (OIB) memeterai dua Perjanjian Tambahan Pemberi Pinjam Wang dengan Sea Resorts Development Sdn Bhd (SRDSB) bagi melanjutkan tempoh dua kemudahan pinjaman berjumlah RM30 juta.

 

OIB dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, perjanjian tambahan itu dimeterai pada 7 Oktober 2026 bagi meminda perjanjian pinjaman sedia ada, khususnya berkaitan pelanjutan tempoh Pinjaman Pertama dan Pinjaman Kedua.

 

Pinjaman Pertama berjumlah RM25 juta, manakala Pinjaman Kedua membabitkan kemudahan tambahan RM5 juta yang masing-masing diberikan SRDSB kepada syarikat.

 

Bagi Pinjaman Pertama, tempoh pinjaman dilanjutkan kepada lima tahun daripada tarikh pengeluaran pertama berbanding tiga tahun sebelum ini.

 

Sejajar dengan pelanjutan tersebut, bayaran faedah akan dibuat dalam 60 bayaran bulanan berbanding 36 bayaran, manakala bayaran balik prinsipal secara sekaligus akan dibuat pada akhir tempoh 60 bulan berbanding 36 bulan sebelum ini.

 

Sementara itu, tempoh Pinjaman Kedua dilanjutkan kepada tiga tahun lapan bulan lapan hari daripada tarikh pengeluaran pertama berbanding tiga tahun sebelum ini.

 

OIB berkata, bayaran faedah bagi Pinjaman Kedua akan dibuat dalam 45 bayaran bulanan, dengan bayaran terakhir meliputi faedah bagi tempoh lapan hari sahaja, berbanding 36 bayaran bulanan sebelum ini.

 

Bagi bayaran balik prinsipal, ia akan terus dibuat secara sebahagian setiap bulan secara berperingkat, diikuti satu bayaran sekaligus bagi baki prinsipal pada akhir tempoh 44 bulan lapan hari.

 

Sebelum ini, bayaran sekaligus bagi baki prinsipal dibuat pada akhir tempoh 36 bulan.

 

“Selain daripada perkara yang dinyatakan di atas, semua terma dan syarat lain yang terkandung dalam perjanjian tersebut kekal tidak berubah,” katanya.

 

Perjanjian pinjaman asal bagi Pinjaman Pertama dan Pinjaman Kedua masing-masing diumumkan OIB pada 22 Ogos 2023 dan 13 Disember 2024. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved