hamden18/09/2026 - 18:12 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Sept - Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) bakal membuat kemunculan sulung sebagai pemaju kediaman di Singapura selepas anak syarikat milik penuhnya, Eco World Development (S) Pte Ltd (EWPL), memenangi tender tapak kediaman di Lorong Puntong/Sin Ming Avenue bernilai SGD208.10 juta (kira-kira RM667.6 juta).
EWPL disahkan sebagai pemenang bidaan tender yang dikeluarkan oleh Urban Redevelopment Authority (URA) Singapura bagi tanah seluas kira-kira 4,283.4 meter persegi itu.
Tanah tersebut dianugerahkan untuk tempoh pajakan 99 tahun dan akan dibangunkan sebagai kondominium atau flat kediaman dengan keluasan lantai kasar (GFA) maksimum 11,994 meter persegi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Seri Chang Khim Wah berkata, lokasi berkenaan mempunyai hubungan yang baik melalui jalan utama dan lebuh raya, selain hanya tiga minit berjalan kaki dari stesen MRT Bright Hill.
Stesen MRT berkenaan dijangka menjadi stesen pertukaran menjelang 2030.
“Kami amat berbesar hati kerana dapat membuat kemunculan sulung sebagai pemaju hartanah di Singapura di lokasi kediaman utama seperti ini,” katanya.
Beliau berkata, tapak tersebut turut dikelilingi pelbagai pusat beli-belah, kemudahan gaya hidup dan rekreasi dalam lingkungan 2 kilometer, termasuk Thomson Plaza, Junction 8, Singapore Island Country Club, MacRitchie Reservoir, Bishan-Ang Mo Kio Park dan Windsor Nature Park.
Tapak berkenaan juga terletak betul-betul bertentangan dengan Ai Tong Primary School, manakala institusi pendidikan terkenal seperti CHIJ St. Nicholas Girls’ School, Catholic High School, Raffles Institution, Eunoia Junior College dan Ang Mo Kio Primary School turut berada berhampiran.
Menurut Chang, kombinasi rangkaian jalan raya dan rel, kemudahan gaya hidup serta rekreasi dan institusi pendidikan terkenal memberikan tapak tersebut beberapa kelebihan bagi menarik golongan yang ingin menaik taraf kediaman serta keluarga berbilang generasi.
“Ini memberikan Tanah tersebut tiga kelebihan utama. Ia disokong oleh rangkaian infrastruktur jalan raya dan rel yang komprehensif, membolehkan akses mudah ke kawasan pusat perniagaan (CBD), kawasan beli-belah Orchard Road dan Marina Bay melalui pengangkutan awam serta persendirian.
“Dalam lingkungan 2 kilometer, terdapat banyak taman, kawasan simpanan alam semula jadi, kemudahan gaya hidup dan rekreasi. Digabungkan dengan kehadiran institusi pendidikan terkenal berhampiran, ia memenuhi semua kriteria untuk menarik pasaran golongan yang ingin menaik taraf kediaman serta keluarga berbilang generasi,” katanya.
Pembangunan VERSIONE
Chang berkata, EcoWorld merancang melancarkan projek sulung itu pada 2028 di bawah siri baharu VERSIONE.
Katanya, konsep pembangunan berkenaan menawarkan apartmen gaya hidup yang dipilih secara teliti serta pengalaman yang direka untuk memenuhi keperluan dan aspirasi setiap kumpulan pelanggan tertentu.
“Berdasarkan lokasi strategik tapak ini, kami menyasarkan untuk mewujudkan sebuah kawasan kediaman tersendiri yang akan mengetengahkan yang terbaik daripada jenama EcoWorld bagi memenuhi keperluan pembeli rumah Singapura yang arif serta mempunyai citarasa tinggi,” katanya. - DagangNews.com






