OM Holdings peroleh bekalan mangan dari Australia menerusi perjanjian dengan Element 25

LocalBusiness & Finance
4 Aug 2026 • 3:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

OM Holdings peroleh bekalan mangan dari Australia menerusi perjanjian dengan Element 25 Image from: OM Holdings peroleh bekalan mangan dari Australia menerusi perjanjian dengan Element 25 liza04/08/2026 - 15:51 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Ogos – OM Holdings Ltd menerusi anak syarikat milik penuhnya, OM Materials (S) Pte Ltd memeterai perjanjian jual beli jangka panjang dengan syarikat perlombongan Australia, Element 25 Ltd bagi memperoleh bekalan bijih mangan yang telah diproses daripada Projek Butcherbird di Australia Barat.

 

Perjanjian itu membolehkan OM Materials membeli sehingga 100% pengeluaran bijih mangan gred tinggi daripada lombong Butcherbird, tertakluk kepada pengecualian tertentu bagi memenuhi rancangan Element 25 menghasilkan mangan sulfat ketulenan tinggi gred bateri (High Purity Manganese Sulphate Monohydrate, HPMSM) pada masa hadapan.

 

Menerusi perjanjian itu, OM Holdings memperoleh jaminan bekalan daripada Projek Butcherbird yang disasarkan menghasilkan sehingga 1.1 juta tan metrik setahun.

 

Kontrak itu dimeterai ketika Element 25 sedang mempercepatkan pembangunan Projek Butcherbird, yang dijangka menjadi antara pemacu utama pertumbuhan syarikat dalam sektor perlombongan mangan.

 

Bagi OM Holdings pula, perjanjian berkenaan mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar aloi mangan yang mempunyai sumber bekalan bahan mentah jangka panjang bagi menyokong operasi peleburan syarikat di Malaysia.

 

Tempoh Lima Tahun Dengan Pilihan Sambungan

Mengikut syarat perjanjian, kontrak berkuat kuasa bagi tempoh awal lima tahun bermula daripada penghantaran pertama dengan pilihan untuk dilanjutkan sehingga lima tahun lagi tertakluk kepada prestasi dan semakan kedua-dua pihak.

 

Harga jualan pula tidak dimuktamadkan secara tetap, sebaliknya ditentukan berdasarkan mekanisme harga yang dikaitkan dengan penanda aras antarabangsa bijih mangan, selain mengambil kira spesifikasi kualiti produk dan kos penghantaran.

 

Perjanjian itu turut menggunakan konsep "ambil atau bayar" (take-or-pay), iaitu OM Materials perlu membeli jumlah yang dipersetujui atau tetap membuat pembayaran mengikut syarat kontrak, sekali gus memberikan jaminan pendapatan kepada Element 25.

 

Selain itu, OM Materials diberikan hak pemasaran eksklusif di peringkat global bagi produk yang memenuhi spesifikasi, kecuali beberapa pengecualian yang membolehkan Element 25 menggunakan sebahagian pengeluaran untuk keperluan pemprosesan hiliran sendiri.

 

Bagaimanapun, perjanjian tersebut masih tertakluk kepada beberapa syarat lazim termasuk kelulusan lembaga pengarah, pembiayaan projek dimuktamadkan serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

 

Kukuhkan Kerjasama 

Sementara itu, Pengarah Urusan Element 25, Justin Brown berkata, kerjasama itu mengukuhkan hubungan sedia ada antara syarikat dengan OM Holdings selain menyediakan rakan pembeli jangka panjang yang diyakini bagi pengeluaran daripada Projek Butcherbird.

 

Menurut beliau, kewujudan pelanggan tetap akan meningkatkan keyakinan institusi kewangan dan pelabur untuk menyokong pembiayaan projek pengembangan Butcherbird, sekali gus mengurangkan risiko pembangunan projek tersebut.

 

Katanya, struktur perjanjian itu juga membolehkan syarikat menikmati kepastian hasil jualan tanpa menjejaskan peluang memperoleh manfaat sekiranya harga mangan global meningkat.

 

Element 25 turut mengekalkan fleksibiliti strategiknya untuk meneruskan rancangan menghasilkan HPMSM, iaitu bahan mentah penting dalam pembuatan bateri kenderaan elektrik, menerusi pengecualian tertentu dalam perjanjian bekalan tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved