OMODA | JAECOO Malaysia Perkukuh Hubungan Pelanggan Menerusi JAECOO J7 PHEV SHS Treasure Hunt 2025

LocalCars
20 Dec 2025 • 8:00 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

OMODA | JAECOO Malaysia berjaya menutup tirai JAECOO J7 PHEV SHS Treasure Hunt 2025, sebuah inisiatif penglibatan pelanggan berskala nasional yang direka untuk mendekatkan pemilik dengan jenama, di samping membuktikan kecekapan sebenar JAECOO J7 Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) dalam situasi pemanduan harian.

image is not available

Acara berbilang hari ini menggabungkan pemanduan merentasi laluan indah, cabaran interaktif serta aktiviti pembinaan komuniti, sekali gus menonjolkan komitmen OMODA | JAECOO dalam menyediakan solusi mobiliti inovatif dan mesra alam.

Menurut Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Men Lin Bo, Sistem Hibrid Super (SHS) OMODA | JAECOO merupakan tunjang strategi jenama itu di Malaysia.

“JAECOO J7 PHEV ialah model pertama yang menampilkan teknologi SHS. Sistem ini mengimbangi prestasi dan kecekapan secara pintar, memenuhi keperluan pelanggan yang semakin peka terhadap teknologi dan penjimatan tenaga,” katanya.

Treasure Hunt ini dianjurkan merangkumi tiga wilayah utama di Malaysia. Laluan Wilayah Utara (3–4 Disember) meliputi Pulau Pinang, Kedah dan Perak, diikuti Wilayah Tengah (5–6 Disember) merentasi Selangor, Kuala Lumpur dan Seremban, sebelum berakhir di Wilayah Selatan (7–8 Disember) melibatkan Johor dan Melaka.

image is not available

Sebanyak 77 unit JAECOO J7 dengan penyertaan 160 peserta mengambil bahagian, membentuk konvoi meriah yang bukan sahaja menampilkan semangat pengembaraan, malah memperlihatkan keupayaan teknologi PHEV menyokong mobiliti lestari dalam pemanduan seharian.

Peserta dibahagikan kepada kumpulan yang terdiri daripada lima buah kenderaan dan mengikuti laluan yang telah ditetapkan ke mercu tanda popular serta pengedar sah OMODA | JAECOO. Di setiap hentian, pasukan perlu menyelesaikan tugasan melibatkan kemahiran navigasi, kerja berpasukan dan kreativiti, termasuk cabaran pengetahuan am serta penghasilan kandungan foto dan video.

Acara ini turut menjadi platform pemilik berkongsi pengalaman sebenar menggunakan JAECOO J7 PHEV. Dr. Karan Nair dari Kuala Lumpur berkata beliau hanya perlu mengisi minyak seminggu sekali walaupun kerap berulang-alik dari Sendayan ke Lembah Klang.
Sementara itu, Sasha How Kuan Yee berkongsi pengalaman perjalanan dari Melaka ke Pulau Pinang selama tiga hari dua malam, dengan baki jarak pemanduan masih 100 km selepas kembali ke Melaka.

Program ini mengukuhkan lagi rekod pencapaian JAECOO J7 PHEV sebelum ini, termasuk pemanduan jarak jauh lebih 1,300 km di China tanpa henti mengecas, serta perjalanan rentas sempadan dari Singapura ke Hatyai yang mencatat jarak maksimum 1,427.5 km, melepasi angka rasmi WLTP.

Dipasang secara tempatan di Shah Alam, JAECOO J7 PHEV ditawarkan pada harga RM158,800, digerakkan oleh enjin 1.5L turbo bersama motor elektrik yang menghasilkan 347 PS dan 525 Nm, dipadankan dengan transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT).

image is not available

Sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu, OMODA | JAECOO Malaysia menawarkan penjimatan sehingga RM14,000 termasuk lanjutan jaminan bateri 10 tahun, pengecas Wallbox percuma, pakej servis serta insentif tambahan di bawah Program Profesional Affiliate (PAP).

image is not available