ONE Championship Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Rodtang Jitmuangnon, Isu Kontrak Jadi Punca

PoliticsSports
16 Apr 2026 • 10:03 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: ONE Championship Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Rodtang Jitmuangnon, Isu Kontrak Jadi Punca

BANGKOK – Ptomosi seni bela diri global, ONE Championship, mengesahkan pihaknya kini sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas juara dunia Muay Thai flyweight, Rodtang Jitmuangnon, susulan dakwaan pelanggaran kontrak.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, proses perundangan telah pun dimulakan di tiga negara iaitu Singapura, Jepun dan Thailand.

Tindakan Tegas, ONE Pertahan Integriti

Dalam kenyataan sama, ONE menegaskan komitmen mereka terhadap ketelusan kepada peminat, atlet serta rakan strategik. Tindakan tersebut diambil selepas berlakunya beberapa pelanggaran perjanjian kontrak yang melibatkan Rodtang.

Organisasi itu turut memaklumkan bahawa tindakan undang-undang berpunca daripada kegagalan atlet berkenaan memenuhi komitmen yang telah dipersetujui, selain kebimbangan terhadap kenyataan atau maklumat yang berpotensi menimbulkan salah faham serta berunsur fitnah.

ONE turut menjelaskan bahawa usaha penyelesaian secara baik telah dilakukan sebelum ini, namun kegagalan berterusan dalam memenuhi tanggungjawab memaksa mereka mengambil langkah lebih tegas demi melindungi kepentingan semua pihak dalam ekosistem sukan tersebut.

Laporan Astro Arena Dedah Perkembangan

Memetik laporan Astro Arena, tindakan undang-undang tersebut dilihat sebagai langkah serius oleh ONE selepas beberapa isu dalaman yang berlarutan gagal diselesaikan secara rundingan.

Laporan itu turut menyebut bahawa pihak organisasi berusaha mengekalkan profesionalisme serta imej sukan, terutama apabila melibatkan atlet bertaraf bintang seperti Rodtang Jitmuangnon.

Siasatan Sedang Berjalan

Ketika ini, siasatan serta semakan undang-undang sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa di ketiga-tiga negara terlibat.

Terdahulu, Rodtang Jitmuangnon yang dikenali sebagai antara petarung terbaik Thailand memaklumkan menerusi media sosial bahawa beliau merancang untuk hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah di Bangkok pada 14 April, selain berdepan pihak media.

Bagaimanapun, sesi tersebut telah ditangguhkan. Rodtang turut menyatakan rundingan kini sedang berlangsung dan beliau akan memanggil semula sidang media sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.

Perlawanan Tumpuan Jadi Tanda Tanya

Dalam perkembangan berkaitan, Rodtang dijadualkan bertemu Takeru Segawa dalam aksi ulangan yang dinanti-nantikan bagi merebut gelaran ONE Interim Flyweight Kickboxing.

Pertarungan itu dijadual berlangsung pada 29 April 2026 di acara ONE Samurai 1 di Tokyo, Jepun.

Namun, dengan isu undang-undang yang semakin meruncing, masa depan perlawanan tersebut kini menjadi tanda tanya, sekali gus meletakkan karier petarung sensasi Thailand itu dalam fasa mencabar. – The Malaysian Update

The post ONE Championship Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Rodtang Jitmuangnon, Isu Kontrak Jadi Punca appeared first on The Malaysian Update.

View Original Article