OnePlus kini hadir dengan variasi edisi terhad baharu untuk peranti OnePlus 11 5G. Dengan kerjasama HoYoverse (atau sebelum ini dikenali sebagai miHoYo), kedua-dua syarikat dilihat cuba tampil dengan pendekatan berbeza pada peranti untuk membuatkannya nampak istimewa dan boleh menarik minat ramai.

Tiada perubahan yang agak ketara boleh dilihat pada peranti itu sendiri. Tetapi ketersediaan kotak eksklusif bertemakan Mao Xiangling yang diberi berjaya menjadikannya kelihatan menarik untuk dimiliki. Konsep yang digunakan adalah sama seperti OnePlus Ace 2 Genshin Impact Limited Edition sebelum ini dengan kotak serba merah seakan api yang menyala bersama pemegang logam. Ini juga adalah sinonim dengan watak Xiangling itu sendiri yang berunsur api di dalam permainan Genshin Impact.

Dalam pada itu pengguna juga akan menerima aksesori tambahan seperti koleksi pelekat, kad khusus Xianling, pencungkil SIM Duoba dan buku kecil untuk arahan ringkas di dalam kotak berkenaan. Menurut OnePlus kad permainan edisi terhad yang diberikan itu dicetak pada kertas sejenis mesra alam.

Peranti ini akan mula dipasarkan pada 21 Julai akan datang dengan hanya 1,000 unit sahaja untuk pembelian bermula $799 (~RM3,619).
