OnePlus 11 Concept Diperkenalkan Dengan LED Dibelakang Dan Sistem Penyejukkan Setara PC

TechnologyDigital
27 Feb 2023 • 4:01 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available
OnePlus 11 Concept

OnePlus hari ini mengadakan acara pengenalan produk untuk MWC 2023 yang berlangsung minggu ini, melalui pengenalan telefon konsep mereka, dinamakan OnePlus 11 Concept Phone.

image is not available

Ramai sedia melihat gambar acah yang diperlihatkan sebelum ini, sekaligus membawa kepada spekulasi yang mana ia mungkin menyertakan pencahayaan seperti telefon Nothing Phone (1) di belakang. Sistem pencahayaan ini diperkenalkan sebagai Halo Lighting yang akan memperlihatkan unjuran suhu peranti tersebut.

image is not available

Peranti tersebut dilihat hadir dengan rekaan yang lebih memiripi sebuah peranti OnePlus 11 5G sedia ada, dengan penggunaan panel LTPO+ 3 bersaiz 6.7 inci dengan resolusi QHD+ (3216×1440) dan sistem tri-kamera 50MP+48MP+32MP dengan teknologi kamera Hasselblad X-Pan.

image is not available

OnePlus 11 Concept Phone juga menyertakan sokongan penyejukkan setara PC, dinamakan Active Cryoflux. Ia dikatakan mampu membuatkan telefon sejuk dengan penurunan suhu telefon sehingga 2.1°C. Menurut pihak OnePlus, penurunan suhu ini bukan sahaja akan membantu dalam meningkatkan jumlah kadar bingkai permua, tetapi juga mempercepatkan kadar pengecasan bateri pada peranti ini.

image is not available

OnePlus turut menyatakan kerangka belakang lutsinar yang dinamakan ClearFlow Cover untuk memperlihatkan teknologi penyejukan tersebut melalui bahagian kerangka belakang. Ini, digabungkan dengan sistem pencahayaan Halo Lighting memberikan satu keunikan dan fungsi yang praktikal khususnya untuk mereka yang mahukan prestasi terbaik pada peranti-peranti mereka.

image is not available

Buat masa ini, telefon ini masih pada peringkat konsep sahaja, dan tidak diketahui bilakah ia akan dikomersilkan. Sebelum ini, OnePlus turut memperlihatkan telefon konsep dengan bahagian kamera yang boleh disembunyikan, yang mana masih tidak dikomersilkan sehingga ke hari ini.