Lagi berita yang kurang enak bagi peminat jenama OnePlus dan Realme pagi ini kerana Bloomberg melaporkan OnePlus akan menarik diri daripada pasaran Amerika Syarikat dan Eropah seawal minggu ini sebagai langkah penstrukturan semula Oppo. Kemudian OnePlus akan menarik diri daripada pasaran luar China termasuk India secara berperingkat menjelang 2027.

Dalam laporan yang sama Realme pula dilaporkan akan menarik diri daripada pasaran China juga dalam masa terdekat. Semua langkah ini dipercayai diambil dengan Oppo akan menjadi jenama utama syarikat.
Di peringkat awal OnePlus dilancarkan untuk peranti pembunuh peranti mercu yang dijual pada hara jauh lebih mampu milik. Tetapi sejak tiga tahun kebelakangan ini, harga peranti mercu OnePlus tidak lagi boleh dikatakan mesra marhaen.
Realme pula menawarkan peranti kelas pertengahan dan permulaan yang mampu milik sebelum turut menerjah masuk ke arena peranti premium menerusi siri GT. Pihak Oppo, OnePlus dan Realme belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai laporan Bloomberg. Tetapi sejak beberapa bulan lalu, kedai atas talian OnePlus di Amerika dan Eropah menunjukkan produk sudah kehabisan stok. Sementara itu muncul juga laporan pembangunan OxygenOS dan Realme UI telah dihentikan.





