OP BPT langkah efektif jaga kebajikan, elak rakyat teraniaya

22 Aug 2023 • 3:25 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KOTA BHARU: Pelaksanaan Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkaitan penyelewengan pembungkusan beras di seluruh negara, dilihat sebagai langkah efektif dalam usaha menjaga kebajikan rakyat.

Peniaga, Fauziah Yusof, 63, berkata tindakan kerajaan itu amat tepat pada waktunya bagi menangani isu berkenaan sekali gus dapat mengelakkan pengguna daripada terus tertipu dengan pembungkusan semula kampit beras tempatan menjadi beras import yang harganya tidak dikawal kerajaan.

“Dalam keadaan rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup, ada pula pihak yang mengambil kesempatan meraih keuntungan dengan cara yang tidak betul.

“Tindakan kerajaan ini akan dapat mengesan aktiviti tidak bermoral dengan cepat ... tindakan sewajarnya juga mungkin boleh diambil terhadap mereka yang terlibat termasuk membatalkan lesen perniagaan kerana melibatkan penganiayaan kepada rakyat,“ katanya ketika ditemui Bernama di pasar Peringat di sini hari ini.

Sementara itu, pengusaha kedai makan Samiha Ismail, 32, pula berkata penipuan pembungkusan oleh syarikat atau pengilang beras bukan isu kecil tetapi satu pengkhianatan kepada pengguna.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh dipandang mudah kerana penyelewengan ini memberi kesan kepada semua rakyat terutama golongan B40.

“Saya kira langkah drastik yang dilakukan oleh KPKM ini sangat wajar dan tepat bagi memberi jaminan rakyat tidak tertipu dengan mereka yang cuba mengambil kesempatan,“ katanya.

OP BPT yang bermula pada 16 Ogos lepas memberi fokus kepada pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap kilang padi komersial dan pemborong beras bagi memastikan keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada.

Penguatkuasaan undang-undang berkaitan padi dan beras dilaksanakan oleh Kawalselia Padi dan Beras (KPB) di bawah Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan perihal kenyataan palsu mengenai gred beras di bawah Seksyen 21 Akta 522.

Individu yang terlibat pula boleh didenda hingga RM25,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat boleh dikenakan denda hingga RM50,000 jika sabit kesalahan. -Bernama