
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan ditahan dalam siasatan Op Crack berhubung kegiatan menggodam Sistem Imigresen, bagi meluluskan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, siasatan yang masih berjalan mendapati terdapat beberapa lagi individu dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.
“Siasatan masih berjalan dan menjangkakan lebih banyak tangkapan serta sitaan akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Imigresen (JIM).
“Dua syarikat turut disyaki terbabit dalam proses permohonan dan kelulusan PLKS secara tidak sah, namun identiti syarikat berkenaan tidak dapat didedahkan buat masa ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Menurut beliau, Op Crack bermula hasil perkongsian maklumat risikan antara SPRM dan JIM sejak Mei lalu sebelum operasi penguatkuasaan dilancarkan pada 28 Julai.
Katanya, operasi itu membabitkan Cawangan Projek Khas Bahagian Perisikan SPRM bersama Bahagian Perisikan JIM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Telekom Malaysia, Agensi Keselamatan Siber Negara serta Bahagian Forensik Teknologi SPRM.
Sehingga kini, seramai 12 individu direman antara dua hingga tiga hari bermula 29 Julai bagi membantu siasatan.
Mereka terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai JIM, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM dan seorang pegawai polis.
Abdul Halim berkata, SPRM turut memanggil empat individu untuk dirakam percakapan dan akan memanggil beberapa lagi saksi bagi membantu siasatan.
Dalam operasi tersebut, katanya, SPRM menyita wang tunai RM186,360, wang asing berjumlah 700 dolar Singapura (RM2,313), 19 telefon bimbit, enam komputer riba, dua komputer, dua unit pemprosesan komputer serta sebuah router.
Selain itu, turut disita tujuh jongkong emas seberat 0.2 gram setiap satu, sekeping jongkong emas seberat dua gram, seutas rantai emas, seutas gelang emas dan satu rantai kunci emas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM15,700.
Beliau berkata, tindakan membekukan akaun individu dan syarikat yang disyaki terlibat juga sedang dilaksanakan.
Mengulas tempoh reman kesemua suspek, Abdul Halim berkata SPRM akan memohon lanjutan reman terhadap mereka bagi melengkapkan siasatan.
“Reman mereka tamat hari ini. Ada yang kita akan mohon sambung reman bergantung kepada mahkamah sama ada membenarkan atau tidak,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Op Crack: SPRM jangka lebih ramai ditahan appeared first on Kosmo Digital.






