RCI TH: SPRM mula siasatan, 8 pegawai teliti dokumen

LocalPolitics
31 Jul 2026 • 3:24 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: RCI TH: SPRM mula siasatan, 8 pegawai teliti dokumen

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) dengan menghantar lapan pegawai penyiasat ke ibu pejabat institusi itu, pagi ini bagi mendapatkan serta meneliti dokumen berkaitan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, tindakan itu merupakan langkah awal siasatan selepas pasukan khas ditubuhkan semalam bagi meneliti perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI tersebut.

“Pihak kami telah pun bergerak masuk ke bangunan Tabung Haji pagi ini, pasukan penyiasatan sudah mula melakukan siasatan pagi ini di mana seramai lapan pegawai (SPRM) ke TH.

“Mereka mengenal pasti dokumentasi berkaitan dengan perkara yang ditekankan dalam RCI serta perkara yang berkait dengan siasatan kami,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Menurut beliau, tindakan itu turut diambil susulan saranan Perdana Menteri supaya agensi penguat kuasa menjalankan siasatan terhadap perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam.

Beliau berkata, pasukan penyiasatan kini turut mengenal pasti individu yang akan dipanggil untuk dirakam percakapan selepas meneliti senarai berkaitan mengikut prosedur ditetapkan.

Mengulas sama ada pengurusan tertinggi TH termasuk bekas pengerusi akan dipanggil, Abdul Halim berkata, siasatan tidak tertumpu kepada mana-mana tempoh atau individu tertentu.

“Fokus siasatan adalah untuk meneliti sama ada terdapat unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa ataupun ketidakberesan berdasarkan Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Mana-mana individu yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan siasatan akan dipanggil untuk dirakam percakapan mengikut proses yang ditetapkan,” jelasnya.

Semalam, SPRM memaklumkan pasukan khas yang menyiasat perkara itu diketuai Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Hafaz Nazar.

Laporan RCI yang diterbitkan di portal rasmi Jakim antara lain mengesyorkan audit forensik dijalankan bagi meneliti keputusan pelaburan TH yang didakwa menyebabkan penyusutan nilai aset yang ketara.

Laporan itu, yang menyiasat pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, turut mengenal pasti beberapa pelaburan bermasalah serta mendapati wujud transaksi mencurigakan dan penyembunyian maklumat yang memerlukan siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

The post RCI TH: SPRM mula siasatan, 8 pegawai teliti dokumen appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved