KUANTAN – Tiga lelaki tempatan ditahan selepas didapati positif dadah dalam Op Guardian dijalankan selama dua hari yang berakhir pada Rabu.
Pengarah Keselamatan Negeri Pahang, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Safrul Faiz Ab Satar berkata, lelaki berusia antara 33 hingga 49 tahun itu ditahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas saringan air kencing mendapati mereka positif opiat dan methamphetamine.
"Kes disiasat dibawah Seksyen 3 (1) dan Seksyen 6 (2) (d) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya pada sidang media di Jeti Jabatan Perikanan Kuantan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, penemuan kes terbabit membuktikan keberkesanan operasi bersepadu dalam mengesan aktiviti berisiko tinggi yang berselindung di kawasan perairan.
Menurutnya, operasi berkenaan membabitkan 11 agensi penguat kuasa dengan kekuatan 85 pegawai dan anggota.
"Sepanjang operasi, sebanyak 172 pemeriksaan dijalankan dengan 21 tangkapan direkodkan," katanya.
**media[3492919]**
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan 139 pemeriksaan dan menahan 18 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.
Katanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut melaksanakan enam pemeriksaan dan merampas minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai lebih RM2,000.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula tidak mengesan ketirisan barang kawalan, namun mengeluarkan lapan notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) turut mengeluarkan satu saman terhadap majikan serta menjalankan semakan penempatan pekerja asing.
“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pula melaksanakan 14 pemeriksaan dengan dua aset laut digerakkan sepanjang operasi,” katanya.
Safrul Faiz berkata, operasi berkenaan memfokuskan kawasan dari Muara Kuantan hingga ke Sungai Tembeling dan berjaya mencapai objektif utama dalam mengekang pelanggaran undang-undang tempatan.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat jenayah maritim melalui talian 09-5717345 atau 999 bagi tindakan segera.


