JOHOR BAHRU - Polis Johor membongkar pangsapuri dan rumah kedai yang menjadi tempat penyimpanan dan pembungkusan semula pelbagai jenis dadah bernilai RM1.24 juta di kawasan Seri Alam dan bandar raya ini pada Isnin dan Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah pangsapuri di Taman Megah Ria, Seri Alam manakala serbuan kedua di rumah kedai di Taman Sri Tebrau.
"Hasil pemeriksaan dilakukan di lokasi serbuan pertama, polis merampas termasuk sembilan bekas serbuk MDMA (7.8 kg), 44 peket serbuk ekstasi (1.1 kg), 40 botol cecair MDMA (2.4 liter), 80 biji pil Erimin 5, serta syabu dan pelbagai peralatan pembungkusan.
"Di lokasi kedua pula kami menemui pelbagai jenis dadah termasuk dua peket serbuk MDMA (69 gram), 212 biji pil ekstasi (65.08 gram), tiga peket ketamin (310 gram), empat peket serbuk ekstasi (76 gram), satu peket syabu (100 gram), dua peket heroin (174 gram) serta 52 katrij cecair ketamin (104 ml)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.
**media[3479299]**
Menurut Ab Rahaman, empat lelaki tempatan, seorang lelaki warganegara Singapura dan seorang wanita tempatan berusia antara 31 hingga 60 tahun turut ditahan.
"Suspek kedua, lelaki tempatan bertindak sebagai koordinator aktiviti pengedaran. Suspek keempat dan kelima adalah pembekal
"Suspek pertama, ketiga, keenam dan ketujuh dikenal pasti sebagai ahli sindiket," katanya.
Jelasnya, sindiket ini dipercayai aktif sejak Oktober 2025 dan menggunakan pangsapuri "pengawal dan berpagar” sebagai pusat simpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan.
"Bekalan dadah diperoleh dari luar Johor dan dibungkus semula di pangsapuri. Pembeli daripada sindiket merupakan pelanggan tetap yang biasanya di kelab malam.
"Semua suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa. Ujian awal air kencing mendapati enam suspek positif methamphetamine manakala seorang lagi positif benzodiazepine.
"Polis turut merampas kereta, motosikal dan wang tunai bernilai lebih RM58,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya.


