Op Hazard 3.0: 515 individu ditahan, RM582 juta e-waste disita

LocalEnvironment
10 Apr 2026 • 11:35 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Khalid (tengah) ketika sidang akhbar di Bukit Aman pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Seramai 515 individu diberkas dalam Op Hazard 3.0 yang turut merekodkan rampasan pelbagai sisa elektronik atau e-waste bernilai RM582 juta, hasil serbuan terhadap 110 lokasi di seluruh negara pada Isnin

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, sebanyak 42 premis dikenal pasti sebagai kilang haram yang menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste.

"Seramai 868 individu diperiksa dengan 515 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan warga tempatan dan warga asing berusia 16 hingga 70 tahun,” katanya ketika sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Jumaat.

Mohd Khalid berkata, sebanyak 6,378 tan e-waste bernilai RM455 juta turut dirampas, selain 377 tan bahan yang telah diproses seperti aluminium, tembaga dan timah bernilai RM7.4 juta.

"Kita juga merampas 1,925 tan bahan lusuh bernilai RM11.6 juta, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM582 juta,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan 223 kertas siasatan telah dibuka mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 serta undang-undang berkaitan,

"Sebanyak 74 kompaun bernilai RM110,700 turut dikeluarkan, manakala tujuh akaun bank bernilai RM670,000 dibekukan di bawah undang-undang pencegahan pengubahan wang haram.

"Selain itu, 24 kertas siasatan turut dibuka oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyiasat ketirisan cukai berkaitan aktiviti berkenaan," katanya.

Mohd Khalid berkata, operasi yang melibatkan 2,147 anggota di 11 negeri itu merupakan usaha berterusan bagi melumpuhkan sindiket e-waste.

"Aktiviti berkenaan memberi risiko besar kepada kesihatan awam, alam sekitar serta keselamatan negara, selain sering dikaitkan dengan jenayah lain seperti rasuah dan salah guna kuasa," katanya.