Op Hazard 3.0: Polis dedah sindiket e-waste guna jaringan pemain industri sama

LocalEnvironment
10 Apr 2026 • 11:49 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Khalid (gambar kecil) memaklumkan, Hasil 110 serbuan dijalankan, sebanyak 42 kilang haram dikenal pasti menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR – Polis tidak menolak kemungkinan kegiatan pemprosesan sisa elektronik atau e-waste dijalankan oleh sindiket yang mempunyai jaringan dalam kalangan pemain industri sama.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan masih berjalan termasuk meneliti kemungkinan wujud kaitan antara premis yang diserbu dalam Op Hazard 3.0.

“Siasatan masih dijalankan dan kita tidak menolak kemungkinan ada kaitan antara pemain industri sama yang menjalankan kegiatan ini.

“Hasil 110 serbuan yang dijalankan, sebanyak 42 kilang haram dikenal pasti menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Mohd Khalid berkata, sebahagian premis dikesan pernah diserbu dalam Op Hazard 1.0 dan Op Hazard 2.0.

“Kilang haram itu ada yang pernah diserbu sebelum ini menerusi Op Hazard 1.0 dan Op Hazard 2.0.

“Kebanyakannya dikendalikan oleh warga tempatan, namun terdapat juga premis yang diuruskan oleh warga asing,” katanya.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati terdapat premis yang mempunyai lesen bagi tujuan lain sebelum membawa masuk sisa e-waste untuk diproses.

“Sindiket ini juga didapati membuat pengisytiharan palsu semasa kontena dibawa masuk ke negara ini.

“Sisa e-waste itu kemudian diproses semula menjadi bahan seperti timah, emas dan tembaga,” katanya.

Menurutnya, produk akhir yang dihasilkan akan dieksport semula ke luar negara.

“Siasatan mendapati sisa e-waste ini dibawa masuk dari pelbagai negara termasuk dari Barat dan Timur.

“Pelaksanaan Op Hazard 3.0 memberi impak ketara dalam melumpuhkan rangkaian sindiket e-waste haram serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan agensi penguatkuasaan,” katanya.

Mohd Khalid menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti haram yang mengancam keselamatan negara, kesihatan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

“Orang ramai diseru memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan e-waste haram,” katanya.