
JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan lima pendatang asing warga Indonesia dipercayai cuba memasuki negara ini secara haram menerusi Op Khas Pagar Laut pada Ahad lepas.
Pemangku Pengarah APMM Zon Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata suspek berusia 29 hingga 47 tahun itu ditahan pada 10.40 malam di kedudukan 5.4 batu nautika tenggara Tanjung Setapa, Pengerang dekat Kota Tinggi.
Beliau berkata aset Maritim Malaysia yang sedang beroperasi segera bergerak ke lokasi kejadian setelah memperoleh maklumat daripada Sistem Pengawasan Maritim Laut (SWASLA) yang mengesan kontak curiga dari perairan Indonesia.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bot kayu tanpa nombor pendaftaran itu membawa lima lelaki warga Indonesia berumur antara 29 hingga 47 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan disyaki pendatang asing.
“Bot dan pendatang asing itu seterusnya ditahan dan kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959 / 63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu cuba keluar atau masuk Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan serta menjalankan penyeludupan migran,” katanya dalam kenyataan hari ini. - Bernama
-- Lagi
