Op Northern Star: Seorang lagi Tan Sri ditahan, beberapa dokumen dirampas

LocalPolitics
3 May 2025 • 9:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhammed Hasbullah

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lagi individu bergelar Tan Sri kerana disyaki mempunyai kaitan dengan skim penipuan pelaburan Ponzi melibatkan MBI International Group (MBI) pada Khamis lepas di Pulau Pinang.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali ketika mengesahkan penahanan itu berkata, lelaki terbabit kini direman lima hari bagi membantu siasatan.

"Individu terbabit telah dibawa ke pejabat dan rumahnya serta beberapa dokumen yang sepatutnya dirampas untuk siasatan lanjut selain dijadikan bahan bukti,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan baharu berhubung kes berkenaan.

Satu sidang media juga akan diadakan dalam masa terdekat bagi memaklumkan perkembangan lanjut berhubung kes, katanya.

Difahamkan, pengerusi sebuah syarikat hartanah di Pulau Pinang berusia 53 tahun itu dipercayai berperanan sebagai rakan kongsi atau proksi yang menerima wang daripada dalang sindiket tersebut untuk ‘mencuci duit’ hasil kegiatan haram.

Pada 22 April lepas, Muhammed Hasbullah dilaporkan berkata, lima individu termasuk seorang usahawan bergelar ‘Tan Sri’ dan ‘Datuk Seri’ yang dipercayai menjadi proksi serta rakan perniagaan dalam skim penipuan pelaburan itu ditahan di sekitar Lembah Klang dan di utara tanah air menerusi Op Northern Star pada 18 hingga 21 April.

Beliau berkata, selain tangkapan tersebut, polis turut menyita dan membekukan harta serta aset membabitkan tiga dusun durian bernilai RM223.62 juta di tiga lokasi berasingan iaitu di Raub, Pahang (344 hektar), Jawi, Pulau Pinang (5.26 hektar) dan Tasek, Kedah (13.76 hektar).

Katanya, sebanyak 299 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM123.61 juta turut dibekukan selain 12 kenderaan mewah, seutas jam tangan mewah, lima telefon bimbit dan pelbagai dokumen penting yang dipercayai mempunyai kaitan dengan skim penipuan berkenaan.

Muhammed Hasbullah berkata, turut disita tiga entiti perniagaan membabitkan sebuah kilang memproses kelapa sawit di Selama, Kedah, sebuah hotel serta sebuah syarikat pemaju hartanah di Pulau Pinang dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan mencecah RM3.51 bilion. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved