KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelesaikan 42 kes selepas berjaya menumpaskan sindiket jenayah pecah rumah yang menyasarkan kediaman mewah di Pulau Pinang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, Op Shadow telah dilaksanakan JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada 15 Februari lalu.
Menurutnya, seramai lima suspek berusia 22 hingga 26 tahun telah ditangkap dan kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012.
Tambah beliau lagi, tiga lagi suspek berusia 23 hingga 31 tahun telah dikenal pasti dan ketika ini berada dalam tahanan Penjara Jawi, Pulau Pinang dam Penjara Alor Setar, Kedah atas kesalahan-kesalahan lain.
"Kumpulan yang aktif melakukan kesalahan jenayah harta benda khususnya kes pecah rumah di sekitar Pulau Pinang ini diketuai seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun.
"Geng ini mempunyai lapan keahlian yang terdiri daripada penjenayah berulang dan aktif sejak tahun 2024 sehingga Oktober 2025," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kumpulan ini terlibat sekurang-kurangnya 42 kes jenayah pecah rumah melibatkan kerugian dianggarkan menghampiri RM1 juta.
Tambahnya, kesemua tangkapan mempunyai rekod kesalahan lampau seperti rompak berkumpulan, pecah rumah, curi dalam bangunan, curi kenderaan, mendatangkan kecederaan, khianat, memiliki dan melupuskan barangan curi serta penagihan dadah.
Katanya lagi, modus operandi kumpulan ini ialah memecah masuk rumah-rumah di kawasan perumahan mewah yang berpagar dan mempunyai kawalan keselamatan.
"Mereka akan menggeledah serta melarikan barangan berharga seperti barang kemas, barangan elektronik, wang tunai dan lain-lain barang yang mudah untuk dilupuskan," ujarnya.
Kumar berkata, kertas siasatan telah dirujuk dan ditaklimatkan ke Pejabat Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara pada 6 Mac lalu.
"Berdasarkan keterangan dan bukti-bukti yang dikemukakan, pihak pendakwaan telah bersetuju untuk menuduh kesemua lapan orang ahli kumpulan terbabit di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang," ujarnya.
Tegasnya, pertuduhan akan dilaksanakan di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang pada 10 Mac.
Jelas beliau, PDRM menegaskan komitmen berterusan untuk menumpaskan sebarang bentuk kumpulan jenayah terancang melalui pelaksanaan operasi bersepadu, risikan dan penguatkuasaan undang-undang yang berterusan.
"PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam jenayah terancang demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan awam," ujarnya.

