Op Tiris 4.0: 809 stesen minyak dipantau KPDN Selangor

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 5:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
KPDN Selangor melaksanakan Op Tiris 4.0 di seluruh negeri itu bermula Rabu. Foto KPDN SELANGOR

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengenal pasti 809 stesen minyak di Selangor yang aktif beroperasi termasuklah 79 syarikat pemborong diesel bagi pemeriksaan Op Tiris 4.0.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari berkata, ini bagi memastikan pematuhan peraturan kawalan bekalan barang kawalan petrol RON95 dipatuhi.

Menurutnya, pada masa yang sama, KPDN Selangor turut memeriksa prestasi keberadaan bekalan bahan api supaya tidak terjejas.

"Pemeriksaan KPDN Selangor memfokuskan kepada perkara penting berikut iaitu pemantauan ke atas kenderaan pendaftaran asing untuk pematuhan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 2026.

"Kita juga memeriksa status tentusah mesin pengisian pam supaya masih dalam status sah digunakan selain pemeriksaan kenderaan perdagangan serta aktiviti pengisian bahan api ke dalam tong atau bekas," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, KPDN Selangor mengatur pemeriksaan di stesen minyak secara terancang dengan mengenal pasti stesen yang perlu diberi pemeriksaan lebih kerap berdasarkan trafik kenderaan.

Tambah Muhamad Hanif, pihaknya juga mempertingkatkan kekerapan Pasukan Unit Rondaan Bermotosikal KPDN Selangor untuk meronda di sekitar stesen minyak sebagai isyarat keberadaan anggota.

"Kehadiran anggota akan direkodkan melalui Buku Rondaan Bermotosikal KPDN yang ditempatkan di stesen minyak dilawati," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya lagi, KPDN Selangor menjalankan kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor dan Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor sebagai langkah intervensi dan menyelia aktiviti perdagangan melibatkan barang kawalan bahan api di laut dan darat.

"Orang ramai dinasihat agar tidak sesekali mencipta suasana panik semasa membuat pembelian bahan api.

"KPDN tidak sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar dan gagal mematuhi peraturan ditetapkan," ujarnya.

Jelasnya, sebarang maklumat boleh disalurkan di WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

Pada Rabu, KPDN Selangor telah menggerakkan pemeriksaan Kita Gempur di bawah Op Tiris 4.0 melibatkan seluruh Pejabat KPDN Selangor meliputi Pejabat KPDN Shah Alam, Pejabat Cawangan Petaling Jaya, Gombak, Kajang, Sepang, Kuala Selangor dan Kuala Kubu Bharu

Sebelum itu, KPDN mengumumkan larangan penjualan serta pembelian petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing, berkuat kuasa mulai 1 April 2026.