Open DC lancar PE2, pusat data terbesar Pulau Pinang sokong ekonomi digital rendah karbon

LocalTechnology
6 Aug 2025 • 4:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Open DC lancar PE2, pusat data terbesar Pulau Pinang sokong ekonomi digital rendah karbon

image is not available

06/08/2025 - 16:46

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Open DC, penyedia infrastruktur pusat data berprestasi tinggi, melancarkan PE2, pusat data generasi baharu berskala penuh pertama di Pulau Pinang dalam usaha memperkukuh transformasi digital dan mempercepat pertumbuhan ekonomi digital di negeri itu.

Terletak di Bayan Lepas Technology Park, PE2 yang mula beroperasi pada April 2025 merupakan pusat data terbesar dan paling canggih di negeri itu dengan kapasiti kuasa 30 megawatt (MW), dan dilengkapi keupayaan menyokong aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) dan Model Bahasa Besar (LLM).

Ia direka khusus untuk memenuhi permintaan terhadap keperluan pemprosesan data berintensiti tinggi, menjadikan ia platform strategik bagi perusahaan digital, termasuk firma teknologi, perkilangan dan sektor kewangan yang sedang melalui proses transformasi digital.

Langkah Strategik Sokong Aspirasi Negeri Rendah Karbon

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pelancaran PE2 adalah langkah penting dalam usaha menjadikan negeri itu sebagai hab ekonomi digital rendah karbon yang termaju di rantau ini.

“Sebagai infrastruktur strategik, PE2 akan mempercepat pelaburan bernilai tinggi, merangsang inovasi dan meningkatkan daya saing global Pulau Pinang dalam teknologi generasi baharu.

“Ia juga mencerminkan kejayaan inisiatif Penang Silicon Design @5KM+ yang sedang berkembang pesat,” katanya.

PE2 turut mengintegrasikan nod Penang Internet Exchange milik DE-CIX Malaysia, sekali gus meningkatkan kecekapan pertukaran trafik internet tempatan dan menyokong ketersambungan pantas bagi penyedia telekomunikasi.

image is not available

Tumpuan Terhadap Kelestarian dan Lokasi Strategik

Sementara itu, Pengarah Urusan Open DC, Weng-Yew Wong berkata, PE2 merupakan pemangkin utama dalam membangunkan ekonomi digital masa depan yang mampan dan inklusif.

“Teknologi termaju, lokasi strategik dan tumpuan kepada kelestarian menjadikan PE2 sebagai hab ideal untuk syarikat yang ingin berkembang dalam era digital. Kami komited untuk menyediakan infrastruktur digital yang menyokong kejayaan pelanggan,” katanya.

PE2 juga dibina berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan lebuh raya utama serta disokong grid tenaga kukuh, menawarkan kebolehskalaan, kebolehpercayaan dan kecekapan tenaga yang tinggi.

Dalam menyokong kelestarian, pusat data ini menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui termasuk tenaga solar dan sistem kecekapan tenaga tinggi, selari dengan sasaran Pulau Pinang ke arah masa depan digital rendah karbon.

Perkukuh Ekosistem Reka Bentuk Cip Malaysia

PE2 dijangka menjadi komponen penting dalam mengukuhkan ekosistem Penang Silicon Design @5KM+ (PSD@5KM+), dengan sokongan InvestPenang.

Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian berkata, Open DC berada pada posisi strategik sebagai rakan teknologi dan penyedia infrastruktur utama yang menyokong inovasi cip tempatan, seiring visi ‘Cip Buatan Malaysia – Direka dan Dibangunkan di Pulau Pinang’. - DagangNews.com

standard