Paramount beli tanah baharu berharga RM57.84 juta di Pulau Pinang

LocalBusiness & Finance
1 Aug 2025 • 9:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Paramount beli tanah baharu berharga RM57.84 juta di Pulau Pinang

image is not available

01/08/2025 - 09:30

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Paramount Corporation Bhd memperkukuh kedudukannya di wilayah utara menerusi pembelian tanah pegangan bebas seluas 7.67 hektar di Bandar Cassia, Batu Kawan, Pulau Pinang berharga RM57.84 juta daripada Perbadanan Pulau Pinang (PDC).

Pemaju hartanah itu berkata, tanah baharu yang terletak kira-kira 600 meter dari pembangunan Utropolis Batu Kawan itu akan dibangunkan dengan projek bercampur merangkumi pangsapuri servis, rumah bandar berkembar dan pejabat kedai.

“Pembinaan dijangka bermula pada tahun 2027 dan siap menjelang 2033, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM744 juta.

“Pengambilalihan ini akan dibiayai menerusi gabungan dana dalaman dan pinjaman bank. Ia merupakan tambahan penting kepada pemilikan tanah Paramount untuk memacu pertumbuhan mampan di wilayah utara,” katanya dalam kenyataan.

Ketika ini, Paramount memiliki pegangan tanah seluas 145.24 hektar dengan GDV terkumpul berjumlah RM5.497 bilion.

Dalam perkembangan berasingan, TA Research menzahirkan keyakinan terhadap langkah strategik Paramount untuk memperoleh 28% pegangan dalam Envictus International Holdings Ltd, sebuah syarikat tersenarai di Bursa Singapura yang mengendalikan jenama Texas Chicken dan San Francisco Coffee di Malaysia.

Pegangan itu akan dibeli oleh anak syarikat milik penuh Paramount, Venice Concepts Sdn Bhd daripada JAG Capital Holdings Sdn Bhd yang dimiliki Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Pegangan itu akan dibeli oleh anak syarikat milik penuh Paramount, Venice Concepts Sdn Bhd daripada JAG Capital Holdings Sdn Bhd yang dimiliki Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

JAG Capital kini memegang 29.6% dalam Envictus. Nilai pengambilalihan dianggarkan RM126.32 juta secara tunai.

TA Research berkata, pengurusan Paramount telah menjelaskan kebimbangan utama pelabur termasuk kualiti pendapatan Envictus, integrasi selepas pengambilalihan dan impak kepada modal syarikat.

“Langkah ini dijangka memberi pendedahan kepada perniagaan F&B yang kukuh dan menjana tunai secara konsisten dengan penilaian masuk yang menarik,” kata firma penyelidikan itu.

Bagaimanapun, TA Research mengingatkan risiko utama termasuk kemungkinan hasil pelaburan tidak mencapai jangkaan atau perubahan dasar pelaburan asing Singapura yang boleh menjejaskan pemilikan atau pulangan Paramount.

“Memandangkan Envictus disenaraikan di Singapura, sebarang perubahan peraturan pelaburan asing pada masa hadapan berkemungkinan menjejaskan hak atau keupayaan Paramount untuk membawa pulang keuntungan, walaupun buat masa ini tiada sekatan seperti itu.

“Tambahan pula, dengan hanya 28% pegangan, Paramount tidak akan mempunyai kawalan operasi ke atas Envictus. Bagaimanapun, ia merancang untuk melantik wakil lembaga bagi melindungi kepentingannya,” kata firma itu lagi.

Sementara itu, Paramount mengunjurkan pasaran hartanah kekal mencabar dalam separuh kedua 2025 berikutan ketidaktentuan perdagangan global, rasionalisasi subsidi bahan api dan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Setakat ini, jualan yang dicapai hanyalah RM600 juta berbanding sasaran RM1.5 bilion bagi tahun penuh.

TA Research mengekalkan unjuran pendapatan Paramount bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027 serta harga sasarannya pada RM1.48 sesaham.

“Saham Paramount kekal dinilai rendah, diniagakan pada hanya 6.4 kali nisbah harga terhadap pendapatan 2026 dan 0.4 kali nisbah harga terhadap nilai buku, jauh di bawah purata sektor.

“Dengan hasil dividen melebihi 7%, hampir dua kali ganda berbanding purata sektor 3.7%, kami melihat risiko penurunan harga saham adalah minimum,” katanya.- DagangNews.com

standard