
OpenAI sedia menggunakan strategi memperkenalkan pelbagai produk dan perkhidmatan melalui ChatGPT sebelum ini, termasuk sokongan integrasi edagang, pengenalan pelayar web Atlas, penjana video Sora, dan beberapa ciri lain. Walaupun mempunyai sejumlah penawaran, tidak semua produk boleh dikatakan berjaya. ini membuatkan OpenAI untuk melihat kembali kepada strategi mereka.
Mengikut laporan awal, OpenAI kini dikatakan sedang melakukan perancangan akhir untuk mengalih strategi dan memfokuskan kepada pengguna perusahaan dan juga penawaran pengaturcaraan sahaja. Langkah ini dilihat diambil OpenAI selepas melihat kejayaan Anthropic melalui produk mereka seperti Claude Code dan juga CoWork.
Anthropic dilihat lebih memfokuskan kepada penawaran produk khusus, dan tidak menyasarkan pengguna awam yang ramai. Sehingga ke hari ini, Anthropic tidak menawarkan ciri seperti penjanaan gambar atau video. Ini sekaligus membolehkan mereka memfokuskan sumber kepada pengguna yang benar-benar akan membayar pada platform mereka.
Dengan perubahan strategi dan fokus ini, ia tidak diketahui sama ada OpenAI akan meneruskan perancangan memperkenalkan peranti mereka tersendiri atau tidak. Sekumpulan pengguna juga dilihat lebih berpuas-hati dengan penawaran sokongan pengaturcaraan melalui Codex versi terkini – memperlihatkan kebolehan OpenAI menjana keuntungan melalui segmen ini.
Apa pun, dengan perkembangan ini, sama-sama kita nantikan langkah seterusnya OpenAI dalam usaha menjana pendapatan dan terus kekal relevan di pasaran.
