
Lanjutan laporan mengatakan NVIDIA masih berkira-kira berkenaan pelaburan ke OpenAI, kini hadir laporan lanjutan mengatakan OpenAI tidak begitu berpuas hati dengan prestasi cip NVIDIA, dan sedang melihat ke cip alternatif yang lain.
Ia dikatakan OpenAI tidak berpuas hati dengan kelajuan yang ditawarkan cip NVIDIA dalam memberikan jawapan kepada pengguna, mahupun digunakan dalam sempoicara serta pelbagai tugasan kecerdasan buatan lain.

Langkah ini juga dilihat akan terus menyuramkan perhubungan antara kedua-dua pihak. Cip NVIDIA masih digunakan secara meluas untuk tujuan melatih model terbaru, tetapi kini ramai pembangun model kecerdasan buatan sedang mencari alternatif kepada cip melibatkan proses inferens.
Untuk makluman, sokongan proses inferens dilakukan apabila sesuatu perkhidmatan memberikan respon kepada pertanyaan pengguna. Ia juga turut memerlukan memori yang tinggi untuk membolehkan ia menarik data dan melakukan operasi kiraan matematik. Google dilihat mempunyai cip yang agak baik untuk tujuan proses inferens ini.
Pada hari ini, Google dan Anthropic menggunakan cip TPU Google untuk tujuan inferens ini. Desas-desus sebelum ini turut mengatakan Meta mungkin turut menggunakan cip keluaran Google.
Buat masa ini, ia tidak diketahui sama ada perkara seperti ini akan memberikan kesan kepada pelaburan akan datang oleh NVIDIA ke OpenAI atau sebaliknya.


