OpenAI Membeli Syarikat Peranti AI Jony Ive Pada Nilai $6.4 Bilion

TechnologyDigital
22 May 2025 • 8:36 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

OpenAI hari ini secara mengejut mengumumkan mereka akan mengambil-alih syarikat peranti pintar io yang diasaskan oleh Sir Jony Ive. OpenAI akan mengambil-alihnya pada nilai sekitar $6.4 bilion. Dengan pengambil-alihan ini, ia sekaligus memperlihatkan OpenAI akan hadir dengan penawaran peranti dan perkakasan tidak lama lagi. Ive juga dijangka akan turut mengambil tanggungjawab memfokuskan rekabentuk pada OpenAI selari pengambil-alihan ini.

OpenAI sebelum ini sedia mempunyai pegangan sebanyak 23% dalam io. Pengambil-alihan ini turut men jadikannya pengambil-alihan terbesar oleh OpenAI dari segi nilainya.

Jony Ive sebelum ini terkenal dengan rekabentuk sejumlah produk ikonik bawah Apple, termasuk MacBook Air, iPhone, iPad, dan juga iPod, selain kampus Apple yang terbaru. Buat masa ini, tiada produk baharu yang dihasilkan di bawah firma ini, dan tidak diketahui lagi apakah produk pertama yang akan diperkenalkan pasca pengambil-alihan ini. OpenAI mengatakan akan berkongsi berkenaan penawaran baharu di bawah pengambil-alihan ini pada tahun hadapan, 2026.