OpenAI Mengesahkan ChatGPT Digunakan Untuk Membantu Menulis Perisian Hasad

TechnologyDigital
14 Oct 2024 • 6:45 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Salah satu ciri yang lebih menarik pada perkhidmatan AI ChatGPT ialah kebolehannya untuk menjana pelbagai jenis kandungan, termasuklah kod pengaturcaraan sekiranya anda tahu bagaimana untuk menanyakannya. Apa yang menarik dan mungkin merisaukan ialah perkara ini dapat dilanjutkan kepada pelbagai jenis pengaturcaraan, termasuklah untuk membina perisian hasad.

Begitulah apa yang nampaknya berlaku kebelakangan ini, apabila OpenAI telah mengatakan bahawa mereka telah menghalang lebih 20 operasi kumpulan godaman yang telah menggunakan ChatGPT untuk tujuan pembangunan perisian hasad yang termasuklah proses debugging, penyebaran maklumat palsu dan sebagainya.

Perkara ini ditemui sejak awal tahun ini, dan syarikat kecerdasan buatan tersebut telah bertungkus lumus untuk memastikan bahawa teknologi ChatGPT tidak digunakan untuk manfaat pihak-pihak yang jahat. Penggodam-penggodam dari China, Iran dan sebagainya, yang dilaporkan sebagai “pihak penggodam yang bekerja untuk kerajaan” ataupun state threat actors telah menggunakan ChatGPT untuk mempercepatkan proses pembangunan vektor serangan penggodam yang dilihat telah menyerang infrastruktur IT negara seperti Amerika Syarikat dan sebagainya.

Ia turut dilaporkan bahawa perisian hasad yang dibina menggunakan ChatGPT boleh mencuri butiran seperti senarai kenalan, fail-fail yang disimpan didalam komputer, mengambil tangkapan layar perisian dan desktop pengguna, melihat senarai sejarah pelayar web pengguna dan juga mendapatkan lokasi komputer yang diserang.