
KUALA LUMPUR: Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan mendorong kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil hari ini.
Mudah tunai dalam sistem konvensional meningkat kepada RM52.34 bilion daripada RM49.16 bilion pagi ini, manakala mudah tunai dana Islam menyusut menjadi RM33.47 bilion berbanding RM44.09 bilion sebelumnya.
Awal hari ini, bank pusat menawarkan satu tender pasaran wang konvensional, tiga tender Qard dan dua tender repo berbalik.
Terdahulu, ia turut mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan murabahah komoditi bercagar untuk tempoh satu hingga tiga bulan
Pada 4 petang, BNM mengadakan tender pasaran wang konvensional bernilai RM51.3 bilion dan tender pasaran wang murabahah RM33.5 bilion, kedua-duanya untuk wang tiga hari.
Purata kadar semalaman Islam ialah pada 1.72 peratus, manakala kadar satu, dua dan tiga minggu masing-masing pada 1.78 peratus, 1.82 peratus dan 1.85 peratus.-Bernama
