Operasi buru haiwan ternakan ancam nyawa pengguna jalan raya

8 Feb 2024 • 12:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kerajaan Selangor akan melaksanakan operasi khas bagi menangkap haiwan ternakan yang dikesan berkeliaran di kawasan awam termasuk kawasan perumahan penduduk di negeri ini. Gambar kecil: Rizam

SABAK BERNAM - Kerajaan Selangor akan melaksanakan operasi khas bagi menangkap haiwan ternakan yang dikesan berkeliaran di kawasan awam termasuk kawasan perumahan penduduk di negeri ini.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail berkata, terdapat banyak aduan diterima daripada pemilik premis perniagaan, hospital, bangunan kerajaan, jalan awam dan masyarakat mengenai pencerobohan haiwan ternakan.

Menurut beliau, kes pemilik ternakan membiarkan haiwan merayau di tempat awam membahayakan dan menjadi punca kemalangan pengguna jalan raya.

"Banyak kes kemalangan melibatkan kematian, kecederaan dan ada juga hilang upaya kekal seumur hidup apabila berlaku kemalangan dengan haiwan ternakan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada salah seorang penerima di Kampung Sungai Tengar, Sungai Air Tawar di sini pada Khamis.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar memberitahu, kebanyakan pemilik haiwan ternakan mengambil sikap 'lepas tangan' setiap kali berlakunya kemalangan jalan raya.

Sehubungan itu, tegas beliau, penternak yang didapati membiarkan ternakan mereka berkeliaran akan dikenakan kompaun jika berhasrat mengambil semula ternakan mereka.

"Kadang-kadang (kemalangan membabitkan) lembu liar ini tiada siapa yang hendak bertanggungjawab.

"Kita di peringkat kerajaan negeri perlu mengadakan operasi khas bagi menangkap ternakan ini sehingga ia dituntut oleh pemilik," katanya operasi khas itu akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Justeru, kata beliau, penternak dinasihatkan tidak melepaskan haiwan mereka yang mengundang kepada risiko kemalangan.

"Tindakan membiarkan ternakan adalah tidak bertanggungjawab dan sebaiknya mereka perlu menyediakan kandang selain mengurus haiwan ini dengan lebih bertanggungjawab," kata beliau.