Operasi inDrive, Maxim Dihentikan: Kelangsungan Hidup Pemandu Terjejas

LocalPolitics
14 May 2025 • 9:45 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) kecewa berhubung arahan Kementerian Pengangkutan (MOT) yang meminta dua penyedia e-hailing antarabangsa, inDrive dan Maxim, menghentikan operasi mereka di Malaysia baru-baru ini.

Ini kerana tindakan itu dilihat menjejaskan kelangsungan hidup pemandu memandangkan ramai pemandu memilih platform seperti inDrive dan Maxim kerana ia menawarkan lebih fleksibiliti serta struktur komisen yang lebih mesra pemandu.

Difahamkan, inDrive khususnya, mengenakan kadar komisen paling rendah di pasaran Malaysia sekali gus membolehkan pemandu mampu menjana pendapatan yang lebih tinggi.

Presiden TPAD Nathan Mathivanan berkata, pekerjaan itu menjadi punca rezeki yang lebih stabil kepada kebanyakan pemandu, terutamanya di kawasan luar bandar dan pekan kecil.

image is not available

“Persoalannya, sekiranya persaingan dikurangkan, bagaimana pasaran sedia ada mampu terus menyokong kebajikan pemandu?”

"Kesan kepada penumpang juga tidak boleh diketepikan. Dengan kurangnya pilihan penyedia perkhidmatan, persaingan harga mungkin terjejas, sekali gus membawa kepada kemungkinan kenaikan tambang atau penurunan kualiti perkhidmatan," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, kerajaan mengarahkan dua aplikasi e-hailing dari Rusia, InDrive dan Maxim menghentikan operasi masing-masing berkuat kuasa 24 Julai ini kerana didakwa beroperasi secara haram.

Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) menerusi kenyataan turut dilaporkan mendakwa, kedua-dua platform e-hailing itu didapati terus menawarkan perkhidmatan mereka tanpa mematuhi peraturan di bawah akta sedia ada.

Menurut APAD, dua syarikat e-hailing berkenaan didapati melanggar syarat pelesenan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

"Ini termasuk tidak memastikan pemandu-pemandu mereka memiliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah, seperti yang telah diwajibkan oleh undang-undang Malaysia.

"Perbuatan ini bukan sahaja tidak adil kepada pemandu yang mempunyai Lesen PSV yang sah, malah turut menjejaskan keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka kerana pemandu yang dibenarkan beroperasi tanpa memiliki Lesen PSV yang sah, juga tidak memiliki Insurans E-Hailing selain tidak melakukan pemeriksaan kenderaan seperti terma dan syarat yang telah ditetapkan," katanya.