Operasi Leong Hup di Indonesia dan Vietnam merosot, Maybank IB ‘potong’ unjuran pendapatan FY23-25
diyana
01/06/2023 - 10:55
KUALA LUMPUR 1 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) telah menurunkan unjuran pendapatan Leong Hup International Bhd bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 17-61% susulan kemerosotan operasi di Indonesia dan Vietnam.
“Kami mengurangkan pendapatan FY23, FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 61%, 40% dan 17% selepas diselaraskan dengan purata harga jualan (ASP) ayam dan anak ayam berumur sehari di Indonesia.
“Walaupun operasi ternakan dan kilang makanan ternakan Malaysia dijangka mengalami pemulihan yang berterusan, ini akan dihalang berikutan ketidakseimbangan permintaan dan bekalan ayam berterusan di Indonesia, dan penjualan makanan yang lemah di Vietnam akibat wabak selesema babi,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.
Berikutan cabaran jangka pendek itu, firma itu telah menurunkan taraf saranan kepada ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada 50 sen sesaham berbanding ‘beli’ pada TP RM1 sebelumnya.
Firma itu percaya permintaan dan bekalan yang tidak seimbang berpanjangan akan terus menghalang pemulihan pendapatan kumpulan dalam suku-suku berikutnya walaupun ASP ayam telah mula meningkat di Indonesia.
Maybank IB berkata demikian susulan keputusan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) Leong Hup International menyusut.
Menurut firma tersebut, keuntungan bersih kumpulan berjumlah RM22 juta hanya merangkumi anggaran tahun penuh firma dan konsensus masing-masing pada 9% dan 10%, manakala hasil kumpulan selaras dengan anggarannya.
Prestasi mengecewakan itu kebanyakannya berpunca daripada segmen ternakan kumpulan di Indonesia yang telah merosot 148% suku ke suku (QoQ), mengheret pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) menurun 43%.
“Sementara itu, wabak selesema babi di Vietnam juga menyebabkan penurunan EBITDA sebanyak 45% QoQ ekoran permintaan makanan ternakan yang lebih rendah.
“Hasil kumpulan pula telah menyusut 5% QoQ memandangkan sumbangan jualan yang lebih lemah daripada ternakan dan segmen kilang makanan ternakan,” tambahnya.
Jualan Malaysia dan Vietnam masing-masing turun 6% QoQ dan 15% QoQ disebabkan oleh ASP ayam dan makanan ternakan yang lebih rendah, bersama-sama dengan jumlah jualan lebih perlahan dalam kedua-dua segmen. -DagangNews.com.

