Operasi LRT Kelana Jaya ditutup sehingga 15 November, RapidKL sediakan pengangkutan alternatif percuma

9 Nov 2022 • 6:52 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

RapidKL, pengurus perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang pagi ini mengumumkan bahawa mereka terpaksa menutup operasi 16 stesen LRT laluan Kelana Jaya. Ia akibat masalah yang timbul sejak hari Sabtu, 5 November lepas dan tidak dapat diselesaikan lagi.

RapidKL menetapkan tarikh penutupan selama seminggu, bermula hari ini 9 November sehingga hari Selasa, 15 November 2022. 16 stesen yang terlibat dalam penutupan operasi ini adalah:

  1. Ampang Park
  2. KLCC
  3. Kampung Baru
  4. Dang Wangi
  5. Masjid Jamek
  6. Pasar Seni
  7. KL Sentral
  8. Abdullah Hukum
  9. Bangsar
  10. Kerinchi
  11. Universiti
  12. Taman Jaya
  13. Asia Jaya
  14. Taman Paramount
  15. Taman Bahagia
  16. Kelana Jaya

image is not available

Selain ini, LRT masih boleh beroperasi iaitu dari stesen Putra Heights (KJ37) sehingga stesen Lembah Subang (KJ25). Serta dari Stesen Damai (KJ8) sehingga stesen Gombak (KJ1). Bagaimanapun, masa perkhidmatan untuk stesen yang masih beroperasi ditamatkan lebih awal, iaitu dari 6 pagi sehingga 11 malam.

image is not available

Untuk membantu warga kota bergerak, RapidKL akan menyediakan bas perantara percuma melalui 5 laluan iaitu:

  1. Stesen Ara Damansara (KJ26) ke Stesen Pasar Seni (KJ14)
  2. Stesen Ara Damansara (KJ26) ke Stesen Kelana Jaya (KJ24)
  3. Stesen Kelana Jaya (KJ24) ke Stesen Pasar Seni (KJ14)
  4. Stesen Pasar Seni (KJ14) ke Stesen Masjid Jamek (KJ13)
  5. Stesen Masjid Jamek (KJ13) ke Stesen Damai (KJ8)

image is not available

Buat sementara ini, pengguna dinasihatkan untuk mencari alternatif untuk bergerak di bandar. Anda boleh menyemak laluan bas kendalian RapidKL di sini, untuk merancang perjalanan.

Dalam kenyataan RapidKL semalam, masalah di LRT laluan Kelana Jaya ini berpunca daripada sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil, pertama kali berlaku pada hari Sabtu lepas. Pada waktu itu, tren terpaksa dipandu secara manual di antara Stesen KLCC dan Stesen Ampang Park serta tren berhenti lebih lama di platform.

Masalah ini telah diselesaikan pada awal pagi Ahad, 6 November tetapi ia kembali terjadi pada hari Isnin, 7 November 2022. RapidKL telah mendapatkan bantuan pihak Thales Group di Kanada selaku pengilang peralatan asal (OEM) untuk menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar gangguan tersebut.

[Sumber: RapidKL]