liza28/05/2026 - 15:22 KUALA LUMPUR 28 Mei – Penang Port mencatat pertumbuhan stabil dalam beberapa petunjuk operasi utama bagi suku pertama 2026, mencerminkan momentum positif berterusan dalam aktiviti pengendalian kargo, perkhidmatan pelayaran kapal persiaran dan operasi feri.
Pengerusi Suruhanjaya Penang Port (PPC), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, pelabuhan itu mengendalikan sebanyak 343,036 kontena TEU dari Januari hingga Mac tahun ini, meningkat 4.88% berbanding 327,078 TEU bagi tempoh sama tahun lalu.
“Jumlah kontena import dan eksport masing-masing mencatat pertumbuhan sebanyak 4.45% dan 5.92%, menunjukkan aktiviti perdagangan serantau yang kekal rancak.
“Peningkatan keseluruhan jumlah pengendalian kontena ini turut mencerminkan keyakinan industri terhadap kecekapan operasi serta tahap kesalinghubungan pelabuhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi kargo konvensional, Yeoh memaklumkan jumlah keseluruhan pengendalian kargo bagi tiga bulan pertama tahun ini mencecah 8.55 juta tan berat kargo (FWT), meningkat 17.27% berbanding 7.29 juta FWT dalam tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh peningkatan dalam kargo am, kargo berkontena dan kargo pukal cecair, dengan kargo am melonjak 52.61%, manakala kargo berkontena dan pukal cecair masing-masing meningkat 19.32% dan 15.86%.
Bagi operasi kapal persiaran, Yeoh berkata seramai 372,903 penumpang melalui Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier (SPCT) pada suku pertama tahun ini, meningkat 39.55% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jumlah kunjungan kapal persiaran juga meningkat ketara kepada 201 kunjungan, melonjak 336.96% berbanding tahun sebelumnya. Pertumbuhan berterusan ini memberi kesan limpahan positif kepada ekonomi setempat, khususnya sektor pelancongan, peruncitan, makanan dan minuman serta pengangkutan.
Yeoh turut berkata perkhidmatan feri mencatat pertumbuhan positif dengan jumlah pergerakan penumpang meningkat 9.36% tahun ke tahun kepada 810,053 penumpang pada suku pertama.
Walaupun berdepan ketidaktentuan berterusan dalam persekitaran ekonomi global dan perkapalan, PPC akan terus memantau perkembangan antarabangsa dengan teliti serta bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi memastikan keselamatan dan kestabilan operasi pelabuhan. – BERNAMA
