Berjaya Corp catat kerugian bersih RM118 juta pada 3QFY26 susulan kemerosotan jualan HR Owen dan peningkatan kos operasi

Business & Finance
28 May 2026 • 6:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Berjaya Corp catat kerugian bersih RM118 juta pada 3QFY26 susulan kemerosotan jualan HR Owen dan peningkatan kos operasi Image from: Berjaya Corp catat kerugian bersih RM118 juta pada 3QFY26 susulan kemerosotan jualan HR Owen dan peningkatan kos operasi liza28/05/2026 - 18:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Mei – Berjaya Corporation Berhad mencatat kerugian bersih sebanyak RM118.33 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2026, menunjukkan kumpulan masih berdepan tekanan prestasi dalam tempoh tersebut.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Berjaya berkata, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM2.19 bilion, lebih rendah berbanding RM2.54 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

“Penurunan prestasi ini dipengaruhi oleh segmen runcit bukan makanan yang mencatat kemerosotan, terutamanya susulan penurunan jualan H.R. Owen di United Kingdom.

 

“Jualan kenderaan baharu dan terpakai yang lebih lemah, selain kitaran pelancaran model baharu yang panjang, turut menjejaskan pendapatan segmen berkenaan.

 

“Kesan pertukaran mata wang asing yang tidak memihak kepada kumpulan turut memberi tekanan kepada prestasi keseluruhan,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Segmen runcit makanan bagaimanapun mencatat peningkatan hasil, disokong oleh sumbangan operasi luar negara serta prestasi lebih baik rangkaian Starbucks di Malaysia.

 

Walaupun begitu, segmen ini masih mencatat kerugian, namun lebih rendah berbanding sebelum ini hasil usaha penjimatan kos dan penstrukturan semula operasi.

 

Dalam pada itu, segmen hartanah terus mencatat pertumbuhan hasil dipacu kemajuan projek di Residensi Oak, Bukit Jalil dan Pangsapuri Azalea di Subang Heights.

 

“Segmen hospitaliti mencatat peningkatan hasil berikutan kadar penginapan hotel yang lebih tinggi, walaupun sumbangannya kepada keuntungan masih sederhana.

 

“Bagaimanapun, segmen perkhidmatan mencatat penurunan hasil berikutan sumbangan lebih rendah daripada operasi nombor ramalan serta projek telekomunikasi yang semakin berkurangan,” katanya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026, kumpulan mencatat hasil sebanyak RM6.71 bilion dengan kerugian bersih sebanyak RM81.72 juta.

 

Walaupun masih mencatat kerugian, prestasi itu menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun sebelumnya yang merekodkan kerugian lebih tinggi sebanyak RM149.47 juta.

 

Secara keseluruhan, kumpulan menjangkakan prestasi perniagaan akan terus disokong oleh permintaan domestik yang kukuh serta pemulihan sektor pelancongan, namun masih berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan tekanan kos operasi. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article