Operasi pengosongan Kampung Sungai Baru sebenarnya boleh ditangguhkan - Hamzah

LocalPolitics
11 Sep 2025 • 6:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hamzah

SHAH ALAM - Operasi pengosongan Kampung Sungai Baru sebenarnya boleh ditangguhkan kerana penduduk telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penduduk berhimpun hanyalah demi menyuarakan ketidakpuasan hati kerana isu itu bukan semata-mata soal pembangunan, tetapi menyentuh maruah serta hak ke atas kediaman dan harta benda mereka.

“Saya menzahirkan rasa kesal dengan insiden kekecohan dalam operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru dan saya juga bersimpati dengan anggota polis serta orang awam yang tercedera dalam kekecohan itu.

“Kekecohan ini sebenarnya boleh dielakkan melalui perundingan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dilaporkan cedera semasa melaksanakan pemantauan kawalan operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru pada Khamis.

Sulizmie dilihat mengalami luka berdarah di bahagian muka ketika cuba menyuraikan penduduk yang mendesak masuk ke kawasan operasi pengosongan di beberapa rumah di kampung berkenaan.

Tambah Hamzah, isu berkenaan tidak boleh dipandang enteng dan mesti ditangani secara adil dengan memastikan aspek kebajikan, nilai kemanusiaan serta hak asasi rakyat dilindungi dan dihormati oleh semua pihak.