
PAPAR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua bagi mengesan seorang kanak-kanak lelaki warga asing berusia lapan tahun yang dipercayai lemas selepas tergelincir ke dalam sungai di Kampung Mandalipau, Jalan Manggis Kaiduan, di sini, pada pagi Selasa.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 8.28 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Papar yang diketuai Pegawai Kanan Bomba Damaran Ajak dikerahkan ke lokasi.
Beliau berkata maklumat awal daripada penduduk kampung memaklumkan mangsa, dikenali sebagai Najmal Walki, dipercayai dihanyutkan arus deras selepas dilaporkan tergelincir ketika bermain berhampiran sungai.
“Pasukan operasi telah membuka Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di jambatan Kampung Mandalipau, kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh. Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut digerakkan bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” katanya.
Usaha pencarian pada hari pertama melibatkan teknik pencarian di permukaan air serta dua selaman oleh pasukan penyelamat dengan bantuan kakitangan Papar Water Rafting. Bagaimanapun, mangsa gagal ditemui dan operasi ditangguhkan pada jam 5.10 petang.
Pada hari kedua operasi, kawasan pencarian diperluaskan dari Kigandang River View Camp hingga ke Papar White Water Rafting dalam lingkungan radius enam kilometer dengan menggunakan teknik pencarian di permukaan air menggunakan bot.
Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, mangsa masih belum ditemui. Operasi ditangguhkan pada jam 5.07 petang dan akan disambung semula hari ini (Khamis).





