Budak 8 tahun dikhuatiri lemas, tergelincir di sungai

24 Jun 2026 • 6:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Budak 8 tahun dikhuatiri lemas, tergelincir di sungai
Operasi pencarian mangsa dilakukan di sungai Kampung Mandalipau, Papar.

PAPAR – Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas tergelincir ketika bermain di tepi sungai di Kampung Mandalipau, di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Najmal Walki, 8, sempat dilihat hanyut sebelum dibawa arus sungai tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.28 pagi hari yang sama.

Katanya, seramai enam anggota digerakkan ke lokasi yang terletak sejauh 30 kilometer dari BBP Papar.

“Menurut laporan, terdapat seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dipercayai lemas selepas tergelincir ketika bermain di tepi sungai.

“Menurut maklumat awal daripada penduduk pula, mangsa dilihat hanyut di Sungai Kampung Mandalipau dan susulan daripada itu, pasukan bomba telah membuat ‘staging’ di jambatan Kampung Mandalipau, iaitu kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, operasi yang memasuki hari kedua itu turut dibantu oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dalam menjalankan pencarian mangsa.

“Operasi dijalankan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dan teknik selaman oleh pasukan PPDA.

“Operasi turut dibantu oleh Papar Water Rafting, namun sehingga kini, mangsa masih belum ditemui,” katanya.

Rony berkata, operasi ditangguhkan pada jam 5 petang dan akan disambung semula pada Khamis.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved