
Kota Kinabalu: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib mengetuai satu operasi bersepadu bagi menyelesaikan isu Palauh dan pengemis jalanan di Bandaraya Kota Kinabalu pada Rabu.
Operasi itu disertai pegawai dan penguatkuasa dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa agensi lain.
“Hari ini kita telah menjalankan operasi bagi menyelamatkan Palauh-Palauh serta pengemis di pusat bandaraya Kota Kinabalu.
“Tujuan kita adalah untuk membersihkan kawasan DBKK ini daripada Pelauh-Pelauh dan pengemis jalanan,” katanya.
James yang juga Adun Sugut berkata, dalam operasi itu seramai 31 orang – 10 wanita, tiga lelaki dewasa dan 18 kanak-kanak – diselamatkan.
“Mereka akan dihantar ke Pusat Perlindungan Sementara (PPS).
“Usaha ini tidak akan berhenti di sini, malah akan dipergiatkan lagi pada masa akan datang. Kita akan teruskan operasi ini setiap hari, sehingga kawasan bandar Kota Kinabalu bersih daripada Pelauh dan pengemis.
“Kita telah pun berbincang dengan MKN tentang bagaimana supaya kami dapat mengukuhkan lagi operasi sebegini.
“Kami menganggarkan jumlah mereka yang terlibat mungkin mencecah sehingga 300 orang dan ini adalah jumlah yang kami sasarkan dalam masa terdekat,” katanya.
James menegaskan, usaha seumpama itu tidak terhad kepada Kota Kinabalu sahaja, sebaliknya ia akan diperluaskan ke seluruh Sabah termasuk Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.
“Kami akan menyelamatkan mereka di seluruh Sabah sehingga mereka tidak lagi berada di tepi-tepi jalan,” katanya.
Mengenai mereka yang diselamatkan, James berkata mereka akan diajar kemahiran dan sebagainya, dan pihak berkuasa akan menentukan agensi mana yang boleh menerima mereka dan di mana mereka akan ditempatkan nanti.
“Buat masa ini, kita menempatkan mereka di pusat perlindungan terlebih dahulu dan mengajar mereka.
“Kapasiti PPS untuk tujuan ini setakat ini mampu menampung anggaran bilangan Palauh dan peminta sedekah. Jika ada keperluan, kami akan menambah lebih banyak ruang untuk menampung angka sebenar.
“Isu kapasiti PPS tidak menjadi masalah kepada kita kerana masalah sebenarnya ialah kehadiran kumpulan ini di jalanan kita.
“Adalah menjadi agenda kerajaan Negeri untuk mengangani perkara itu kerana selama ini ia tidak pernah selesai,” katanya.
Menurut James, apabila Ketua Menteri, Datuk Hajiji Hj Noor memberi kuasa untuk menyelesaikan perkara ini, beliau terus turun padang dan mengetuai sendiri operasi di Bandaraya Kota Kinabalu.
Dalam pada itu, James turut meminta orang ramai dan netizen bertenang kerana pihaknya sedang menyelesaikan perkara itu dan kepada para pemimpin di kawasan terbabit, “Sila ambil perhatian bahawa kami sudah mula bekerja mulai hari ini.
“Semoga selepas ini tiada lagi tuding jari dan mengatakan tiada tindakan diambil kerana kita bekerja keras dan bersungguh-sungguh menangani perkara ini secara serius,” jelasnya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

