Operasi Stesen Rel Terpilih Dilanjut Sehingga 1.30 Pagi Sabtu Ini

13 Apr 2023 • 11:55 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Rapid Rail memaklumkan, stesen terlibat bagi Aliran Transit Ringan (LRT) laluan Ampang atau Sri Petang ialah Masjid Jamek manakala laluan LRT Kelana Jaya ialah Masjid Jamek dan KLCC. - Gambar oleh Abdul Razak Latif

KUALA LUMPUR - Beberapa stesen rel terpilih akan dilanjutkan waktu operasinya sehingga jam 1.30 pagi pada Sabtu ini bagi memenuhi keperluan warga kota yang ingin membuat persiapan akhir untuk menyambut Aidilfitri.

Rapid Rail Sdn Bhd menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, stesen terlibat bagi Aliran Transit Ringan (LRT) laluan Ampang atau Sri Petang ialah Masjid Jamek manakala laluan LRT Kelana Jaya ialah Masjid Jamek dan KLCC.

Bagi laluan Monorel pula melibatkan stesen Bukit Bintang, Raja Chulan, Medan Tuanku dan Chow Kit sementara Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang hanya di stesen Bukit Bintang.

Perkhidmatan bas perantara LRT 11 turut dilanjutkan bagi membolehkan pengguna mengakses ke stesen berkenaan susulan penutupan enam stesen LRT Laluan Ampang atau Sri Petaling.

“Stesen sambungan turut dilanjutkan bagi membawa penumpang ke destinasi akhir manakala stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, tetapi penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.

“Warga kota disaran menggunakan pengangkutan awam hujung minggu ini bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dalam pusat bandar,” katanya.

Ujarnya lagi, penumpang juga diminta menggunakan kad Touch ‘N Go atau membeli token perjalanan pulang lebih awal untuk memudahkan perjalanan.

“Orang ramai boleh mengikuti Twitter dan Facebook MyRapidKL atau layari laman web, www.myrapid.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya. - Getaran, 13 April 2023