![Image from: [VIDEO] Operasi tangkap anjing liar jadi kecoh, ugut guna pisau](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/anjing-liar-1024x807.jpeg)
KLANG – Operasi menangkap anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bertukar kecoh apabila seorang individu didakwa bertindak agresif dengan mengugut menggunakan pisau serta menghalang anggota penguat kuasa menjalankan tugas di Jalan Sama Gagah 20, di sini semalam.
Operasi hampir empat jam bermula pukul 8.30 malam itu dilaksanakan susulan aduan rasmi penduduk berhubung gangguan keselamatan akibat kebanjiran anjing liar di kawasan berkenaan.
MBDK dalam kenyataannya memaklumkan operasi itu dijalankan mengikut Undang-Undang Kecil 17(1) Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing MPK 2007 dengan sokongan Jawatankuasa Kesihatan, Kemasyarakatan dan Pembangunan Mampan, selain dimaklumkan kepada ahli majlis kawasan.
Menurutnya, operasi melibatkan 11 kakitangan dan seorang pegawai Jabatan Kesihatan MBDK bersama kira-kira 50 penduduk setempat.
“Semua tangkapan dilaksanakan menggunakan peralatan ‘loop’ mengikut piawaian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memastikan proses penguatkuasaan dijalankan secara selamat serta mengutamakan kebajikan haiwan.
“Dalam operasi itu, sebanyak 12 ekor anjing liar berjaya ditangkap,” katanya hari ini.
Bagaimanapun, ketika operasi di Jalan Sama Gagah 20, sekumpulan individu didakwa menghalang anggota MBDK ketika proses menangkap seekor anjing yang berkeliaran tanpa pengawasan di jalan awam.
Menurut kenyataan itu, seorang individu bertindak agresif dengan cuba memotong tali ‘loop’ menggunakan sebilah pisau, selain mengugut akan mencederakan diri sendiri sekiranya haiwan berkenaan tidak dilepaskan.
“Tindakan tarik-menarik dan kekecohan yang berlaku telah menyukarkan usaha anggota MBDK untuk melonggarkan serta melepaskan peralatan tersebut demi keselamatan haiwan sehingga menyebabkan anjing tersebut mati.
“Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang dan menghindari kecederaan kepada mana-mana pihak, anggota MBDK melepaskan peralatan tersebut,” jelasnya.
Kata MBDK, pihak polis telah hadir ke lokasi bagi mengawal keadaan dan laporan telah dibuat berhubung insiden menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan ancaman menggunakan senjata tajam.
“MBDK menzahirkan kekesalan atas insiden yang berlaku dan kekal komited melaksanakan penguatkuasaan secara profesional, berhemah serta mematuhi piawaian kebajikan haiwan.
“Semua pemilik haiwan peliharaan diseru agar sentiasa bertanggungjawab dengan memastikan lesen haiwan sentiasa sah serta tidak membiarkan haiwan berkeliaran sehingga mengganggu keselamatan awam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitanya.
“Ia masih dalam siasatan polis dan pohon beri ruang kepada polis untuk jalankan siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi lebih tiga minit di media sosial yang memaparkan kekecohan berlaku sewaktu penangkapan anjing liar. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Operasi tangkap anjing liar jadi kecoh, ugut guna pisau appeared first on Kosmo Digital.






